SERDANG – Pelantikan pengerusi bagi lima Badan Berkanun Persekutuan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dibuat berdasarkan kriteria mereka yang sering berdamping dengan masyarakat sebelum ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pada masa sama, pengerusi badan berkanun itu tidak boleh melibatkan golongan elit kerana mereka perlu mengetahui selok-belok tentang pertanian seperti isu bendang selain nelayan.
Beliau menegaskan pemilihan kesemua pemimpin itu turut dibincangkan bersama dalam kepimpinan tertinggi kementeriannya.
“Kita bincang bersama pimpinan dan kita lihat penglibatan mereka dalam masyarakat yang utamanya sebab mereka ini kena terlibat dengan masyarakat.
“Kita tidak boleh pilih orang yang berbentuk elit sedangkan dia (pengerusi) hendak ambil tahu hal bendang, hal nelayan dan sebagainya.
“Rekod mereka dengan masyarakat itu yang paling utama,” katanya selepas majlis Perhimpunan dan Ramah Mesra Warga Kementerian, di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas pelantikan bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) berkuat kuasa Isnin lalu.
Selain Mahfuz, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil, pula dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Turut dilantik ialah Sheikh Umar Bagharib Ali sebagai Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Dr Azman Ismail sebagai Pengerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta Aminuddin Zulkipli sebagai Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, jawatan yang disandang hanya pengerusi agensi di kementerian sahaja namun terdapat pakar di bawah jawatankuasa badan berkanun terbabit.
“Jawatan itu hanya pengerusi dan di bawah mereka terdapat jawatankuasa yang terdiri daripada pakar yang terlibat dan bekerjasama.
“Tujuan kita lantik pengerusi pun untuk beliau mempengerusikan mesyuarat tapi terdapat ramai pakar misalnya MARDI
“Kita tahu beliau dalam ahli lembaga pengarahnya kebanyakannya pakar-pakar dan tidak langgar prinsip,” katanya.
Ditanya yang dilantik terdapat mereka calon kalah Pilihan Raya Umum Ke-14 dan memberi persepsi negatif kepada kerajaan, Mohamad berkata, ramai menteri yang kalah dalam pilihan raya dan dilantik menjadi menteri seperti Menteri Dalam Negeri namun memiliki prestasi yang bagus. – MalaysiaGazette