Tun Tengku Maimun Tuan Mat. Foto MUHD NA’IM, 09 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dikritik kerana tidak menghalang ahli Majlis Peguam menangguhkan perbicaraan bagi menghadiri mesyuarat agung tergempar semalam.

Pemerhati sosial Lim Sian See mendakwa, itu bukan kali pertama Tengku Maimun berbuat demikian.

Menurutnya, pada 17 Jun tahun lalu Tengku Maimun tidak menghalang ahli Majlis Peguam menangguhkan kes bagi menghadiri perhimpunan aman.

Sian See berkata, pengangguhan itu tidak sewajarnya dibenarkan kerana ia melibatkan kos terhadap mahkamah.

Malahan menurut beliau, keadilan terhadap pelanggan terabai kerana terpaksa menangguhkan kes hanya semata-mata anggota Majlis Peguam mahu mengadakan perhimpunan bagi penyokong Tengku Maimun dan Hakim Datuk Nazlan Ghazali.

“Perbicaraan semua kes di Malaysia boleh dua kali ditangguhkan sehari hanya sebab nak pertahankan Nazlan?

“Siapa yang bayar gaji hakim-hakim, pegawai mahkamah dan penguatkuasa yang bertugas di mahkamah?

“Bagaimana pula dengan keadilan bagi mereka yang kes masing-masing terpaksa tertangguh sebab Bar Council mahu jilat Tengku Maimun dan Nazlan?” soal Sian See.

Pemerhati sosial itu turut berkongsi dua pucuk surat daripada Ketua Pendaftaran Mahkamah Datuk Hasbi Hassan yang menyatakan Tengku Maimun tidak mempunyai halangan untuk ahli Majlis Peguam menangguhkan kes pada 17 Jun 2022 dan semalam.

“Pada bulan Jun 2022, Ketua Hakim Negara benarkan semua peguam untuk tangguh perbicaraan mahkamah di semua peringkat di seluruh Malaysia untuk sehari agar mereka boleh hadir penghimpunan aman Bar Council untuk menjilat Tengku Maimun dan Nazlan.

“Semalam (10 Mei 2023) Ketua Hakim Negara sekali lagi benarkan semua peguam untuk tangguh perbicaraan mahkamah di semua peringkat di seluruh Malaysia untuk sehari agar mereka boleh hadir mesyuarat luar biasa (EGM) Bar Council untuk menjilat Tengku Maimun dan Nazlan,” katanya di media sosial.

Semalam Majlis Peguam meluluskan suatu “usul tidak percaya” terhadap peguam negara pada mesyuarat agung tergempar.

Usul dibentangkan itu menyatakan badan itu hilang kepercayaan terhadap peguam negara “atas kegagalan mempertahankan badan kehakiman daripada serangan dan mendukung kedaulatan undang-undang”.

Usul itu memberikan contoh serangan yang didakwa dibuat terhadap Nazlan Ghazali, hakim yang menghakimi kes SRC International Sdn. Bhd. membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak.

Mesyuarat itu dipengerusikan Presiden Badan Peguam, Karen Cheah.

Badan Peguam menegur Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, atas kelakuan yang didakwa menjejaskan kebebasan badan kehakiman.

Pada 17 Jun tahun lalu kira-kira 500 ahli-ahli Majlis Peguam berhimpun di Padang Merbok bagi menuntut kebebasan terhadap badan kehakiman.

Mereka telah berkumpul sejak pukul 9 pagi sambil melaungkan ‘bebas kehakiman’.

Himpunan itu sebagai protes terhadap dakwaan terdapat cubaan untuk melemahkan badan kehakiman negara. – MalaysiaGazette