Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A A. Anbalagan.

SERDANG – Seorang lelaki mati ditembak berhampiran Medan Selera di Jalan Bandar 1, Pusat Bandar Puchong, di sini, awal pagi tadi

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, dalam kejadian itu, mangsa  yang berusia 31 tahun itu sedang berjalan kaki menuju ke kenderaan yang diparkir selepas menjamu selera dengan rakan pada jam 10 malam.

“Setelah selesai makan pada jam lebih kurang 12.35 tengah malam, si mati berjalan kaki ke arah kenderaan dan secara tiba-tiba dipercayai mati ditembak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Anbalagan, pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang yang dikerah ke lokasi sejurus selepas menerima laporan mengenai insiden tersebut menemui mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah.

“Siasatan mendapati simati berasal daripada Dengkil Sepang. Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultan Idris Shah Serdang untuk menjalani proses bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematiannya,” ujarnya.

Tambah beliau, semakan mendapati mangsa yang beralamat di Dengkil, Sepang mempunyai 21 rekod jenayah termasuk pernah dihukum di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Katanya, mangsa juga pernah ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Anbalagan berkata, kes disiasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – MalaysiaGazette