Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang telah menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas A bersama seorang srorang kru warga Laos pada petang semalam

KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas A kerana kerana disyaki melanggar syarat sah lesen pada jarak lebih kurang 7 batu nautika dari Kuala Endau, Rompin pada petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Mantim Kamal Ariffin Jusoh berkata, ketika aset Maritim Malaysia sedang menjalankan rutin pemeriksaan di setiap bot nelayan di perairan Pahang dan mendapati sebuah bot yang sedang bersauh dalam keadaan mencurigakan seterusnya diperiksa dan ditahan pada jam lebih kurang 3.40 petang.

”Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot itu dikendalikan seorang tekong warga Laos berusia 37 tahun dan tiada awak-awak di atas bot serta tidak mempunyai sebarang permit kerja yang sah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, pemeriksaan mendapati bot tersebut telah diubahsuai tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia kerana jenama enjin tidak seperti yang didaftarkan di dalam buku lesen.

Pemilik bot juga didapati melanggar syarat sah lesen dimana bot nelayan kelas A perlu diusahakan sendiri dan tidak dibenarkan menggajikan warga asing, ujarnya.

”Tiada hasil laut dan peralatan menangkap ikan ditemukan di atas bot ketika penahanan dibuat.

”Tekong dan bot dibawa ke jes Pos Maritim Teluk Gading sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Martim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana bekerja tanpa permit yang sah. – MalaysiaGazette