Datuk Seri Johari Harun

KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang telah meluluskan pelbagai skim perumahan termasuk 138 projek PR1MA melibatkan 44,171 unit secara terkumpul di negeri ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun berkata, projek perumahan itu melibatkan Skim Rumah Mampu Milik (RRM), rumah kos rendah, rumah rakyat miskin dan skim rumah oleh kerajaan persekutuan.

”Sebanyak 131 projek PR1MA dalam peringkat pra-pembinaan.

”Manakala 19 projek lagi dalam pembinaan dan 35 projek melibatkan 6,776 unit rumah telah siap dibina dengan harga RM150,000 seunit,” katanya.

Sementara itu sebanyak 26 Projek Rumah Makmur yang berharga RM80,000 seunit dalam peringkat pra-pembinaan, dan empat projek dalam pembinaan melibatkan 7,649 unit rumah secara keseluruhannya menerusi projek tersebut.

Bagi baik pulih projek Perumahan Generasi Baharu FELDA- PGBF yang dinamakan sebagai Rumah Pahang, ia melibatkan 10 projek  bersamaan 1,850 unit rumah.

Rumah Pahang yang berharga RM120,000 seunit kini dalam beberapa peringkat pembinaan dan peringkat pertama bakal siap pada disember 2024.

Bagi projek rumah kos rendah, dua projek perumahan rakyat dimiliki (PPRM) yang berharga RM35,000 hingga RM45,000 seunit masih dalam peringkat pra-pembinaan, tiga projek dalam pembinaan.

”Sebanyak 29 projek melibatkan 3,968 unit rumah PPRM telah siap dibina di mana PPRM adalah projek di bawah Kementerian Pembangunan dan Kerajaan tempatan (KPKT).

”Manakala bagi projek  perumahan awam kos rendah (PAKR), sebanyak 1 Projek PAKR berharga RM35,000 hingga RM45,000 seunit sedang dalam pembinaan dan 111 projek melibatkan 13,999 unit rumah telah siap dibina,” katanya.

Tambah Johari, kerajaan negeri juga telah melancarkan Rumah Rakyat Pahang (RRP) yang bernilai RM65,000 hingga RM75,000 seunit yang diberikan secara percuma kepada rakyat miskin dan miskin tegar.

Katanya semasa sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang,sebanyak 175 unit rumah dalam peringkat pra-pembinaan, 73 unit dalam pembinaan dan 325 unit rumah telah siap dibina sehingga kini.

Bagi projek Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (RURASA), sebanyak 154 unit dalam peringkat pra-pembinaan dan 50 unit dalam pembinaan.

Projek RURASA adalah inisiatif khas dari Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah melibatkan peruntukan berjumlah RM76 juta.

Jelas Johari lagi, kerajaan Persekutuan turut menyumbang kepada rakyat Negeri Pahang untuk pemilikan rumah.

”Sebanyak 498 unit rumah Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang berharga RM75,000 seunit dalam peringkat pra-pembinaan, 364 unit rumah dalam pembinaan dan 5,202 unit rumah (kumulatif) telah siap dibina.

”Manakala bagi Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT)  juga diberikan secara percuma turut dibina melibatkan sebanyak 151 unit rumah bernilai RM56,000 seunit dalam pra-pembinaan, 42 unit rumah dalam pembinaan dan 104 unit rumah telah siap dibina. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast