SERDANG – Golongan petani dan nelayan dinasihatkan perlu lebih berhati-hati untuk menjaga kesihatan mereka walaupun sudah biasa dengan keadaan cuaca yang panas ketika ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berharap golongan itu mengambil langkah pencegahan seperti memakai topi selain meminum air kosong yang banyak bagi mengelak berlaku gejala strok haba.
“Memanglah panas tetapi mereka sudah biasa dengan kepanasan tetapi kena lebih berjaga-jaga.
“Kalau di tempat panas, dia sediakan juga bahan perlindungan, topi dan sebagainya atau pun minum air banyak
“Tapi kita di peringkat ini cuaca panas dengan suhu mencecah antara 34 hingga 35 darjah Celsius dan paling tinggi 36 darjah Celcius tapi tidak seperti di Bangkok yang cecah 40 darjah Celcius.
“Tapi semua diminta berhati-hati terutama golongan petani dan nelayan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perhimpunan dan Ramah Mesra Warga kementerian di MAEPS, di sini, hari ini.
Beliau mengulas kematian kes kematian yang direkodkan akibat strok haba berikutan situasi cuaca panas di seluruh negara.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa sebelum ini berkata, orang ramai dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti luar agar tidak terdedah kepada suhu tinggi selain segera mendapatkan rawatan sekiranya ada gejala strok haba. – MalaysiaGazette