GEORGE TOWN – Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyifatkan tiada keperluan untuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang meneruskan Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) meskipun skala projek itu dikecilkan.
Presidennya, R. Meenakshi berkata, tiada justifikasi untuk kerajaan negeri meneruskan projek berkenaan memandangkan Kerajaan Pusat akan membiayai pelaksanakan projek Transit Aliran Ringan (LRT).
”Pengecilan ‘Silicon Island’ daripada seluas 1,821 hektar kepada 930 hektar masih dikategorikan sebagai penambakan yang besar.
“Penambakan itu bukan saja akan menjejaskan perairan Pulau Pinang serta Perak malah akan menyebabkan lebih banyak kerosakan berlaku sekali gus menjejaskan pendapatan ribuan nelayan.
”Malah, kemusnahan kawasan terumbu karang serta habitat marin juga antara yang dibimbangi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil keputusan mengecilkan projek tambak laut Pulau Pinang Selatan (PSI) dengan mengurangkan kepada satu pulau.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ia selari dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta kerajaan negeri mengkaji semula termasuk memperkecilkan skop tambakan laut bagi projek berkenaan.
Kon Yeow berkata, PSI secara keseluruhan dikecilkan sebanyak 49 peratus yang mana sebelum ini 1,821 hektar tambakan laut kepada 930 hektar. – MalaysiaGazette