Badan Peguam Negara
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Badan Peguam ditempelak kerana hanya berdiam diri apabila mahkamah menolak permohonan peguam bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, pada masa yang sama, Badan Peguam menyuarakan perasaan tidak puas hati terhadap cara Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menangani isu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Sehubungan itu, beliau mendakwa Badan Peguam bersikap selektif kerana rakyat juga pernah meluahkan perasaan tidak puas hati kepada Tan Sri Tommy Thomas ketika menjadi Peguam Negara dahulu.

“Peguam Negara akan diberi notis supaya beliau buat prosiding menghina mahkamah.

“Ini macam memaksa. Tidakkah itu penghinaan?” soalnya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Mesyuarat agung luar biasa (EGM) Badan Peguam semalam meluluskan resolusi yang mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap Idrus kerana didakwa gagal mempertahankan institusi kehakiman daripada serangan pihak tertentu serta gagal menegakkan kedaulatan undang-undang.

Badan Peguam juga kecewa dengan kegagalan Idrus bersuara dan bertindak terhadap serangan dan tuduhan rasuah melibatkan Mohd Nazlan.

Badan Peguam turut memberi mandat kepada Majlis Peguam untuk memberi notis kepada Peguam Negara agar memulakan prosiding penghinaan terhadap individu-individu yang bertanggungjawab melakukan serangan tersebut. – MalaysiaGazette