KUALA LUMPUR – Semangat kejiranan dan tindakan pantas penduduk sekeliling berjaya menyelamatkan dua kanak-kanak daripada menjadi mangsa kebakaran sebuah rumah di Hulu Selangor pada hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran rumah di Jalan Meranti 6/2 Bandar Utama Batang Kali kira-kira jam 3 petang.
Katanya, sebuah jentera pemadam dengan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang dan Kuala Kubu Bharu tiba di lokasi 15 minit kemudian.
“Pemerhatian di lokasi mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah teres dua tingkat.
“Semasa kejadian terdapat dua beradik kanak-kanak perempuan berusia dua dan tiga tahun disyaki terperangkap didalam rumah itu sebelum diselamatkan dan berjaya dibawa keluar oleh orang awam semasa pasukan bomba tiba di lokasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Hafisham, kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.27 petang dan dipadam sepenuhnya 3.40 petang dan dianggarkan 70 peratus rumah itu musnah.
Katanya, siasatan mendapati semasa kejadian kedua-dua adik beradik itu berada di ruang tamu dan jiran mereka menyedari kebakaran yang dipercayai berpunca dari dapur. – MalaysiaGazette