Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama timbalannya,Datuk Seri Mohamad Hasan mengaminkan bacaan doa sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-77 di Surau Ar-Rahman Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 11 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan diberi tugas baharu untuk menentukan parti mana dalam Kerajaan Perpaduan bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan dan Terengganu, Jun ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya sedia mendengar pandangan daripada rakan sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH) sebelum meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di dua negeri Pantai Timur itu.

“Saya serahkan kepada kebijaksanaan perundingan ini kepada Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) untuk menentukan bahawa kebijaksanaan itu diterjemahkan dengan sebaik-baiknya.

“Kita akan mendengar apa sahaja pandangan daripada mereka,” katanya kepada pemberita di lobi Menara Dato’ Onn, di sini, malam ini.

Terdahulu Ahmad Zahid menyampaikan Amanat sempena Ulang Tahun UMNO ke-77 di Surau Ar-Rahman, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Sebelum ini, media melaporkan Ketua Amanah Ketereh, Che Ibrahim Mohamed mencadangkan agar kerjasama antara PH dan BN dalam PRN akan datang dapat disepadukan dengan penggunaan satu logo.

Che Ibrahim berkata, pemimpin Kerajaan Perpaduan wajar melihat kemungkinan bertanding menggunakan logo BN untuk meningkatkan peluang dan penerimaan rakyat di Kelantan dan Terengganu. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Aikk lain macam jer sembang PAN dengan π×NODAP untuk PRN KELANTAN dan TERENGGANU….
    Pe cer LOGO TIMBANG untuk Penang KEDAH SELANGOR serta N9? Kenapa TIMBANG tidak diperlukan MADANON? nasib ko lah Welanon..

Comments are closed.