UPNM
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyampaikan bantuan Dermasiswa kepada mahasiswa semasa mengadakan lawatan kerja di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 11 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) diminta merangka perancangan jangka panjang bagi memastikan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu mendominasi dalam bidang pengajian berkaitan keselamatan negara.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, seperti negara-negara lain di dunia, Malaysia tidak terkecuali daripada keperluan menangani cabaran berkaitan soal keselamatan.

Menurut beliau, UPNM boleh memainkan peranan membantu negara dalam aspek tersebut.

“Saya meminta UPNM memikirkan satu perancangan jangka panjang, bagaimana kita hendak mengemudi universiti ini dan memulakan satu perjalanan yang mana ia boleh mempunyai hala tuju yang mendominasi soal-soal keselamatan negara,” katanya.

Mohamed Khaled berkata demikian kepada pemberita semasa mengadakan lawatan kerja di UPNM di sini, hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah; Pengerusi Lembaga Pengarah UPNM, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (Dasar), Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian dan Timbalan Ketua Setiausaha KPT (Pengurusan dan Pembangunan), Datuk Dr Mohd Zabri Yusoff.

Pada program itu, Mohamed Khaled turut menyampaikan sumbangan komputer riba kepada 10 pelajar UPNM dan dermasiswa bernilai RM1,000 bagi setiap orang kepada 10 pelajar yang lain.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama 20 pelajar UPNM yang menerima sumbangan dermasiswa dan komputer riba semasa program lawatan kerja beliau di universiti tersebut di Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 11 MEI 2023.

Mengulas mengenai lawatan tersebut, beliau menyatakan berpuas hati dengan prestasi UPNM yang pada masa ini menempatkan kira-kira 4,800 pelajar.

Mohamed Khaled percaya bahawa UPNM kekal relevan dan berpotensi untuk menyumbang kepada kemajuan dan kejayaan negara.

“Terutamanya untuk menyumbang modal insan dan bakat-bakat yang bukan sahaja ada kaitan dari segi pertahanan tetapi juga keselamatan negara,” jelasnya. – MalaysiaGazette