Anggota polis membawa empat orang individu lelaki ke mahkamah bagi tuduhan kes kejadian letupan kecil di hadapan sebuah kedai di sebuah kondominium Jalan Klang Lama di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 12 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Dua lelaki mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengakibatkan letupan kecil di kedai makan di sebuah kondominium, Jalan Klang Lama baru-baru ini.

Alex Lau Kwang Lee, 32 dan Lai Meng Sien, 34 didakwa secara serentak di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Berdasarkan pertuduhan, pada 2 Mei lalu kedua-dua tertuduh dengan niat jahat menyebabkan dengan menggunakan bahan letupan buatan sendiri yang boleh membahayakan nyawa dan kerosakan harta.

Kedua-dua tertuduh diwakili oleh peguam bela, Mohd Izhar Ahmad Azmi manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hafiezah Mohamed Fauzi.

Terdahulu, peguam bela tertuduh membuat rayuan agar jaminan kedua-duanya tertuduh dikurangkan daripada RM10,000 seperti yang dicadangkan pihak pendakwa raya.

“Tertuduh pertama (Alex) bekerja di bahagian logistik menanggung isteri dan empat orang anak. Manakala tertuduh kedua iaitu Lai bekerja sebagai penjual alat ganti telefon bimbit. Mereka memberi jaminan akan memberikan kerjasama,” katanya.

Majistret, Nurfarahain Roslan kemudian menetapkan ikat jamin RM3,000 untuk setiap tertuduh.

Beliau menetapkan 22 Jun sebagai tarikh serahan dokumen.

Sebagai rekod, kejadian letupan kecil berlaku di sebuah kondominium di Jalan Klang Lama pada Selasa lalu didapati berpunca daripada bahan letupan buatan sendiri (IED).

Ekoran kejadian itu, polis menahan lima lelaki dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden tersebut.

Dua antara lima adalah yang dituduh pada hari ini, manakala tiga lagi suspek akan dijadikan saksi pendakwaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast