Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick (tengah) dan Presiden ANGKASA, Datuk Dr. Abdul Fatah Abdullah (tiga kiri) beramah mesra bersama tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri ANGKASA, di Wisma ANGKASA, Kelana Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 12 MEI 2023.

PETALING JAYA – Bagi mengatasi isu penipuan pakej umrah di kalangan kakitangan awam, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) akan menyediakan pakej umrah sendiri kepada lebih tujuh juta ahlinya.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, program yang dinamakan Coop Umrah ini akan dikawal selia oleh badan itu sendiri dengan menawarkan harga pakej 20 peratus lebih murah.

“Prinsip kita harga yang ditawarkan kepada mereka mestilah sekurang-kurangnya lebih murah 20 peratus dari harga industri, ia sesuai dengan Konsep Rahmah.

“Itu tujuan kita ANGKASA mengambil inisiatif ini kerana kita akan menguruskan, buat pembelian dan secara pukal dan ramai yang terlibat. Kita ada kuasa tawar menawar dan juga untuk bincang.

“Untuk pemulaan, kita rancang untuk lancarkan tawarkan pakej dengan harga yang berpatutan menerusi agen yang tleah dilantik termasuk koperasi yang jadi ejen untuk mempromosi program umrah ini di mana ANGKASA uruskan bersama rakan strategik terutama sekali koperasi terutamanya kopersi di Arab Saudi.

“Sebelum ini, kita bertindak sendirian oleh mereka di Arab Saudi pun ada koperasi dan kita nak jalinkan kerjasama dengan koperasi-koperasi bukan sahaja dalam negara dan luar negara,” katanya kepada wartawan dalam majlis Rumah Terbuka ANGKASA di sini hari ini.

Pakej umrah itu akan memulakan penerbangan pertamanya pada 19 Julai depan dengan menyasarkan 250 hingga 300 peserta.

Jelas Abdul Fattah, program itu tidak hanya terbuka kepada ahli ANGKASA sahaja malah turut dibuka kepada umum.

“Terbuka kepada semua bukan sahaja ahli sahaja, kita faham biasanya mereka akan bawa anak beranak dan ahli keluarga kalau hadkan sudah tentu masalah dan stategi berniaga juga tidak kena,” katanya lagi.

Program Coop Umrah adalah hasil kerjasama antara ANGKASA dengan ECO Riths Leisure Travel & Tours Sdn. Bhd. adalah untuk menyediakan kemudahan kepada anggota-anggota koperasi mengerjakan ibadah umrah melalui kaedah potongan gaji.

Coop Umrah menawarkan dua kaedah yang boleh dipilih oleh anggota untuk menunaikan umrah.

Kaedah pertama ialah anggota boleh memilih untuk membuat potongan gaji secara bulanan untuk dimasukkan ke dalam tabung umrah yang akan diwujudkan oleh koperasi yang berdaftar di bawah program tersebut.

Untuk rekod, ahli boleh menjalankan ibadah umrah selepas jumlah potongan mencukupi untuk pakej umrah yang dipilih. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast