Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jururawat merupakan ‘tulang belakang’ sektor kesihatan negara yang memainkan peranan penting dalam perkhidmatan kerajaan.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, jururawat bukan sekadar membantu aspek rawatan namunĀ  turut memberikan sokongan mental dan emosi kepada pesakit dan keluarga.

Menurutnya, kerajaan tidak akan dapat membina sektor kesihatan tanpa perkhidmatan penuh dedikasi semua jururawat.

“Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Jururawat Sedunia kepada jururawat di seluruh negara. Hari ini, kita mengambil kesempatan untuk memberi penghargaan kepada para jururawat yang begitu berdedikasi dan memberi komitmen sepenuh hati dalam memberikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat.

“Jururawat adalah tulang belakang sektor kesihatan dan mereka telah memainkan peranan yang sangat penting dalam membantu kita mengatasi cabaran yang dihadapi dalam sistem kesihatan.

“Mereka tidak hanya memberikan perkhidmatan rawatan tetapi juga memberikan sokongan emosi dan mental yang sangat diperlukan kepada pesakit dan keluarga,” katanya menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook, sempena Hari Jururawat Sedunia yang diraikan hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada jururawat dalam negara di atas khidmat bakti yang telah diberikan.

Ujarnya, sumbangan golongan tersebut perlu dihargai oleh rakyat Malaysia keseluruhannya.

“Sekiranya anda bertemu dengan seorang jururawat, jangan lupa untuk memberikan penghargaan dan ucapan terima kasih. Bersama-sama, mari kita terus memberi sokongan kepada mereka dan memastikan mereka mendapat pengiktirafan yang setimpal dengan perkhidmatan yang diberikan,” tambahnya.-MalaysiaGazette