KUALA LUMPUR – Seorang blogger politik ditahan reman bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan rasuah satu projek bernilai lebih kurang RM41 juta di sebuah kementerian.

Permohonan reman dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret hari ini.

Majistret Puan Irza Zulaikha Rohanuddin mengeluarkan perintah reman selama dua hari bermula hari ini sehingga 13 Mei terhadap suspek.

Menurut sumber, blogger berkenaan dipercayai telah menerima rasuah berjumlah lebih kurang RM1.3 juta daripada sebuah syarikat teknologi maklumat sekitar tahun 2020.

Tambah sumber, permintaan dan pembayaran rasuah  dipercayai dilakukan sebagai dorongan kepada suspek melobi supaya syarikat berkenaan berjaya dalam perolehan kontrak berkaitan.

Difahamkan, selain daripada isu jenayah rasuah, SPRM juga akan melihat bagaimana tatacara perolehan projek ini dilaksanakan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 ASPRM 2009.-MalaysiaGazette