Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said (tengah) bergambar bersama Ahli Veteran UMNO Pengerang pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pengerang di Dewan Kejora hari ini.

KOTA TINGGI – Tindakan Majlis Peguam meluluskan usul tidak percaya terhadap Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun merupakan hak badan peguam berkenaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Justeru, beliau berkata kerajaan mesti terbuka dalam menerima kritikan rakyat ataupun badan profesional seperti badan peguam itu.

“(Malaysia) negara bebas. Saya, tak ada apa. Pada saya, hak masing-masing, persatuanlah. Kalau mereka percaya tu, percaya itulah, nak buat macam mana.

“Pada saya, kerajaan Malaysia Madani adalah kerajaan yang mengamalkan demokrasi dan kita mesti terbuka menerima kritikan daripada rakyat ataupun badan-badan profesional,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pengerang di Dewan KEJORA Bandar Penawar, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Pengerang itu berkata kerajaan Madani mestilah menjadi kerajaan yang bertanggungjawab dan menekankan kepada aspek ketelusan dan akauntabiliti.

Azalina berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan badan peguam itu yang meluluskan usul tidak percaya terhadap Idrus ketika Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM), dua hari lepas.

Pada EGM yang diadakan 10 Mei itu, Majlis Peguam dilaporkan meluluskan usul berkenaan atas alasan Peguam Negara gagal mempertahankan Badan Kehakiman serta menegakkan kedaulatan undang-undang.

Mengikut laporan media, dengan usul berkenaan ia turut memberi mandat kepada Majlis Peguam untuk memberikan notis kepada Idrus untuk membawa prosiding menghina mahkamah terhadap pihak yang bertanggungjawab melakukan serangan terhadap Badan Kehakiman, dengan serta-merta.- BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN:

Badan Peguam isytihar hilang kepercayaan terhadap Peguam Negara

1 Komen

Comments are closed.