Wan Rosdy Wan Ismail dan Tuan Ibrahim Tuan Man di Sidang DUN Pahang hari ini

KUANTAN – Kerajaan negeri Pahang akan mempertimbangkan untuk menyalurkan peruntukan kepada blok pembangkang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan itu akan diberikan secara berkala kepada semua sebagaimana titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Isnin lalu.

Bagaimanapun, katanya, jumlah peruntukan itu tidak akan sama dengan peruntukan yang diterima wakil rakyat kerajaan.

“Sebelum titah, kita sudah memberi RM5,000 ketika bulan Ramadan yang lalu, selepas itu, kita akan bagi lagi peruntukan tetapi bukanlah setiap bulan. Kita bercadang hendak bagi peruntukan secara berkala dan mengikut tanda aras.

“Kalau Tuanku bertitah, kita menjunjung kasih titah Tuanku, kita tetap memberikan peruntukan, cuma jumlah peruntukan tidak sama dengan kerajaan, kena ada perbezaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, di sini, hari ini.

Menurut Wan Rosdy, Pegawai Kewangan Negeri telah diminta untuk membuat kajian dan tindakan susulan kertas cadangan ke Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK). – MalaysiaGazette