umat islam mengundi kerajaan besar
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pas berusaha mengukuhkan politik Melayu-Islam dengan tujuan untuk mengembalikan semula kehebatan kepimpinan kumpulan tersebut.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, adalah menjadi kewajiban untuk kumpulan itu memimpin dengan memberikan sokongan dan mengadakan kerjasama menyatukan Melayu melalui Islam.

“Tujuannya untuk mengembalikan semula kehebatan kepimpinan Melayu Islam ini dengan agenda memimpin perpaduan umat.

“Hubungan Melayu laksana satu jasad yang tidak berpisah bersama Islam, dan ini telah menjadi asas yang kukuh bagi mewujudkan semula kepimpinan Islam yang bersejarah dan berjaya menangani masyarakat majmuk,” kata Hadi.

Menurutnya, kerjasama yang dilakukan dengan pelbagai parti termasuk DAP, PKR dan UMNO sebelum ini dengan tujuan melaksanakan perpaduan umat dan untuk memperkenalkan politik Islam.

Kerjasama dengan pelbagai parti telah dilaksanakan sejak Pas ditubuhkan sebelum merdeka sehingga kini dalam urusan politik berkonsepkan perkara ijtihad yang bersifat dinamik.

“Pas yang beraqidah Islam yang sempurna, serta menghayati syariat dan akhlak Islam tidak menggunakan akal semata-mata, termasuk dalam urusan politik.

“Bahkan, Pas menjadikan al-Quran dan Sirah Nabawiah sebagai panduan dalam beberapa bentuk kerjasama dengan pihak lain, sama ada mengambil pendekatan yang dinamakan himayah (perlindungan), tahaluf (persefahaman), ta‘awun (tolong-menolong) atau lain-lain bentuk kerjasama.

“Pas menjadikan petunjuk daripada perspektif Fiqh Siyasah Syar‘iyyah dalam keadaan teguh dan tidak berganjak, serta beristiqamah dalam perkara prinsip aqidah perjuangan Islam dan matlamatnya,” kata Hadi.

Parti itu bagaimana pun bersikap anjal dalam beberapa tindakan dan pendekatan, mengikut realiti dan situasi yang sentiasa berubah dan berbeza-beza.

Sementara itu, Hadi berkata, DAP memulakan label ‘gelombang hijau’ terhadap kejayaan Pas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.

“DAP secara terbuka mencabar Islam, merendahkannya dan mempertikaikan hak istimewa bumiputera yang meminggirkan bahasa kebangsaan.

“Kemudian, mereka berlagak kononnya mereka ditindas oleh sifat perkauman Melayu, laksana mendapat betis mahukan paha, setelah mereka diberikan hak kebebasan beragama, berbahasa dan berbudaya yang tidak diberikan oleh negara lain selain daripada Malaysia.

“Mereka menjaja Islamofobia dan menjadikan kemajuan Pas dalam PRU-15 dengan jenama Gelombang Hijau yang menjadi ancaman kepada masyarakat bukan Islam,” kata Hadi.

Label itu diberikan tanpa mempedulikan kejayaan Pas memerintah beberapa negeri dalam keadaan majoriti besar Melayu Islam hidup aman dan harmoni dalam masyarakat majmuk. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Hahaha.. musim pilihanraya tanda nk dekat dah ni.. abis pilihanraya sume tu ke laut… masing2 masuk gua balik

Comments are closed.