PADANG BESAR – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 18 merampas sepucuk pistol semi auto bersama peluru hidup daripada sekumpulan warga asing yang cuba masuk tanpa kebenaran ke negara ini.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, ACP Mohd Shokri Abdullah berkata, kira-kira 8 malam pada 10 Mei, anggota PGA yang melakukan Rondaan Op Taring Wawasan Kedah/Perlis telah menahan 12 warga asing di kawasan semak berdekatan dengan pos kawalan sempadan C32 di Chuping.

“Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemukan sarung pistol berwarna hitam, sepucuk pistol jenama Desert Eagle 9mm, satu kelopak peluru dan 16 butir peluru hidup 9mm di dalam sebuah beg sandang seorang daripada suspek lelaki berumur 22 tahun,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Turut hadir Pegawai Pemerintah Batalion 18 PGA Pengkalan Hulu Supt Ramli Wan Salin.

Mohd Shokri berkata, hasil soal siasat, suspek mendakwa bahawa dia telah diminta oleh seorang ejen dari negara jiran untuk membawa senjata api itu ke negara ini.

Katanya, 12 warga asing yang ditahan itu ialah tujuh lelaki dewasa berumur 22 hingga 48 tahun, tiga wanita (berumur 27 hingga 47 tahun) dan dua kanak-kanak permpuan berumur satu dan sembilan tahun.

“Kesemua suspek masuk ke negara ini melalui Thailand dan dipandu arah oleh seorang lelaki warga Thailand, mereka masuk ke Malaysia kerana ingin mencari pekerjaan di sini dengan membayar wang sejumlah RM3,000 kepada ejen,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan reman selama 14 hari bermula semalam dan hasil semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.

Mohd Shokri berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan enam sebatan.

Katanya, kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 8 (A) Akta Senjata Api 1960 yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 dan siasatan juga dilakukan di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63. – Bernama

1 Komen

Comments are closed.