Mas Ermieyati Samsudin

KUALA LUMPUR – Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia digunakan terhadap Sim Choo Thiam bagi menyeret sekali Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Pengerusi Jawatankuasa Portfolio Undang-Undang dan Reformasi Institusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsudin mendakwa, kes tersebut lebih sesuai dibuat di bawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009 [Akta 694].

Ini kerana transaksi yang didakwa berlaku melibatkan tiga individu tersebut.

“Tetapi sengaja digunakan seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 bagi mengheret nama Datuk Seri Hamzah Zainudin secara niat jahat dan bermotifkan politik lebih-lebih disebutkan “apa-apa projek milik agensi-agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri”.

“Sedangkan dalam mana-mana pertuduhan rasuah ianya mesti spesifik kepada kes dan tidak boleh dibuat samar-samar begini kerana ia memberi peluang kepada pihak tertentu khususnya kerajaan untuk melakukan pendakwaan terpilih yang bermotif politik dan berniat jahat,” kata Mas Ermieyati.

Beliau mendakwa, SPRM tidak tahu kes yang mahu dikaitkan dengan Hamzah justeru disebut dalam pendakwaan sebagai “apa-apa projek”.

Ini kerana yang penting bagi kerajaan campuran PH-BN, dakwa Mas Ermieyati ialah pembunuhan karektor perlu dilakukan terlebih dahulu ke atas pemimpin Bersatu dan Perikatan Nasional.

“Dengan menggunakan Seksyen 16(a)(B) SPRM 2009 dan pertuduhan pula dibuat secara samar-samar, motif sebenar mereka ialah mahu memberikan gambaran kepada masyarakat kononnya Datuk Seri Hamzah terbabit dengan rasuah.

“Padahal ianya tidak benar sama sekali kerana tiada mana-mana projek dibincang, dibentang atau diluluskan terkait dengan pertuduhan ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut mendakwa, tindakan SPRM merakam keterangan Hamzah pada petang 10 Mei lalu selepas pertuduhan ke atas  Choo Thiam dibuat pada sebelah pagi bukan satu kebiasaan.

“Apa yang jelas, tindakan kerajaan campuran PH-BN memperalatkan agensi seperti SPRM ini membuktikan kepimpinan Anwar Ibrahim takut dengan kekuatan Bersatu dan Perikatan Nasional khususnya menjelang pilihan raya di enam negeri nanti.

“Anwar bimbang jika PH-BN kalah teruk dalam PRN nanti, hayat kepimpinan dia akan tamat sebab itu mereka sengaja mengada-adakan atau mereka cipta pertuduhan serta fitnah bagi mencemarkan nama baik pemimpin Bersatu dan Perikatan Nasional,” dakwanya.

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata, tindakan Hamzah membuat laporan polis hari ini membuktikan beliau seorang pemimpin yang berpegang kepada prinsip berani kerana benar.

Beliau yakin tindakan undang-undang balas daripada Hamzah akan menyusul.

Pada Rabu lalu, dalam pertuduhan di Mahkamah Sesyen, Choo Thiam didakwa meminta suapan wang berjumlah RM15 juta daripada Pengarah Urusan Asia Coding Centre Sdn Bhd, Hep Kim Hong melalui Syed Abu Zafran Syed Ahmad pada Jun 2021.

Ia sebagai dorongan untuk seorang pegawai badan awam iaitu Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri untuk membantu syarikat itu mendapatkan apa-apa projek milik agensi di bawah KDN pada Jun 2021.

Bagi tiga lagi pertuduhan, beliau didakwa menerima rasuah masing-masing berjumlah RM3.5 juta, RM5.5 juta dan RM6 juta daripada Kim Hong sebagai dorongan untuk Hamzah membantu mendapatkan projek milik agensi di bawah KDN antara 19 hingga 30 Julai 2021.

Semua empat pertuduhan berkenaan dilakukan di Solaris Dutamas, Jalan Dutamas 1. – MalaysiaGazette