Gambar fail: Loh Siew Hong (kanan). Foto MUHD NA’IM, 05 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Amalam solat lima waktu menjadi penyelamat akidah tiga anak Loh Siew Hong.

Peguam kes tersebut Aidil Khalid berkata, Hakim Mahkamah Tinggi, Wan Ahmad Farid Wan Salleh mengambil kira faktor tersebut untuk menolak permohonan Siew Hong bagi membatalkan penukaran agama anak-anaknya kepada Islam yang dilakukan oleh bekas suaminya.

“Dalam membacakan penghakimannya semalam, Hakim Mahkamah Tinggi, Yang Arif Dato Wan Ahmad Farid merujuk kepada afidavit dan hujahan peguam MAIPs berkenaan penzahiran iktikad dan keazaman melalui perbuatan dan tingkah laku untuk terus berada dalam agama Islam oleh kanak-kanak mualaf tersebut.

“Walaupun selepas mereka diserahkan ke dalam jagaan penuh oleh ibu non-Muslim mereka.

“Bahkan salah seorangnya juga turut menyatakan hasrat ingin menjadi peguam syarie apabila sudah dewasa kelak,” katanya.

Menurut beliau, keazaman kanak-kanak tersebut kekal Islam dilaporkan oleh media yang telah disalin dan difailkan sebagai bukti di mahkamah.

Laporan media itu dibuat sehari selepas ketika-tiga kanak-kanak tersebut dipulangkan kepada Siew Hong untuk dijaga.

“Sebab itu dari awal lagi, apabila kita perjuangkan kes ini, ia bukanlah kes untuk memisahkan anak-anak dari ibu mereka.

“Ia juga bukan kes untuk memaksakan agama ke atas kanak-kanak yang belum faham apa-apa.

“Sebaliknya ia adalah kerana kanak-kanak mualaf tersebut sesunggguhnya adalah saudara seagama kita, dan justeru itu wajib bagi kita untuk membela hak dan aqidah mereka,” kata Aidil dalam hantaran di Facebook.

Dalam penghakiman semalam, Wan Farid berkata, keinginan anak-anak untuk mengikuti amalan agama Islam termasuk cita-cita salah satu daripada mereka untuk menjadi peguam syarie, adalah bukti yang mencukupi bahawa mereka adalah orang Islam.

Beliau juga berkata, walaupun Siew Hong tidak bersetuju dengan dakwaan itu (mengikuti ajaran keagamaan), ia tetap menjadi penafian semata-mata.

Siew Hong memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 25 Mac 2022 dengan menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, MAIPs; Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan kerajaan negeri Perlis dinamakan sebagai responden pertama hingga keempat.

Menurut permohonan yang difailkan, wanita itu antara lainnya memohon agar anak-anaknya, iaitu pasangan kembar perempuan berusia 15 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun diisytiharkan sebagai penganut agama Hindu dan akuan-akuan memeluk agama Islam kesemua kanak-kanak tersebut bertarikh 7 Julai 2020 dibatalkan.

Siew Hong turut memohon deklarasi bahawa bekas suaminya, M. Nagahswaran tidak mempunyai keupayaan dari segi undang-undang untuk mendaftarkan anak mereka sebagai mualaf tanpa kebenarannya dan ketiga-tiga kanak-kanak itu tidak mempunyai keupayan di sisi undang-undang untuk memeluk agama Islam tanpa kebenaran daripada wanita terbabit.

Selain itu, Siew Hong turut memohon Pendaftar Mualaf Negeri Perlis membatalkan kad memeluk agama Islam anak-anaknya itu dan memadamkan nama anak-anaknya daripada Daftar Mualaf Negeri Perlis.

Ibu tunggal itu turut memohon deklarasi bahawa Seksyen 117(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006 yang memberi kuasa kepada Pendaftar Mualaf Negeri Perlis untuk mendaftarkan seorang kanak-kanak tanpa kebenaran daripada kedua-dua ibu bapa adalah bertentangan dengan perlembagaan, tidak sah dan terbatal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

Comments are closed.