Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 28 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad beralasan sekiranya beliau masih berada dalam Gerakan Tanah Air (GTA) sukar bagi dirinya untuk mendapatkan sokongan kepada Proklamasi Tanah Melayu.

Ujar Dr Mahathir, sekiranya beliau masih berada dalam arena politik, langkah itu akan menyukarkannya untuk bergerak bagi mendapatkan sokongan orang Melayu terhadap proklamasi terbabit.

“Proklamasi ini bertujuan menyatu orang Melayu melangkaui garis politik. Ini bermakna orang Melayu yang juga ahli UMNO, Parti Keadilan Rakyat dan Amanah serta juga segelintir yang ada di dalam DAP jika berkongsi kesedaran yang ditimbul oleh Proklamasi ini akan turut menandatanganinya.

“Apabila orang Melayu dapat bersatu dan bersetuju dengan kesedaran yang ditimbul oleh proklamasi, maka ia menjadi tanggungjawab setiap parti yang berlandas perjuangan Melayu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan 10 perenggan itu menjelaskan mengapa Dr Mahathir bertindak meninggalkan GTA dan mendakwa gabungan itu tidak dapat berfungsi dengan baik.

Dr Mahathir turut berkata gabungan tersebut gagal menarik sokongan pengundi terutama pada Pilihan Raya Umum ke-15 pada November tahun lalu.

Mengulas lanjut, bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) itu berkata, soal samada beliau masih mahu bergiat aktif dalam politik bukan perkara mutlak dan pendiriannya pada masa kini adalah bagi mendapatkan sokongan orang Melayu untuk proklamasi tersebut.

“Jadi tidak timbul saya mengetepi mana-mana parti politik Melayu yang wujud. Orang Melayu akan kehilangan segala-galanya jika kita tidak ada kesedaran dan kesemua parti-parti dan kumpulan-kumpulan yang memperjuang kepentingan orang Melayu tidak bersatu,” katanya lagi.

Khairuddin Abu Hassan

Dalam pada itu, wakil Sekretariat Tanah Air, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, Dr Mahathir tidak berhasrat meninggalkan GTA atau membubarkan GTA secara total.

Dalam pertemuan yang diadakan dengan Dr Mahathir, beliau menjelaskan, gabungan itu tidak dapat berfungsi secara penuh kerana belum diluluskan lagi oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS).

“Dalam isu kelulusan pendaftaran oleh RoS, Dr Mahathir berpendapat bahawa tidak mudah bagi pihak Pendaftar Pertubuhan untuk meluluskan pendaftaran GTA.

“Memandangkan kepada situasi ini, Dr Mahathir ingin menumpukan sepenuh masa bersama Proklamasi Orang Melayu ke arah mendapatkan tandatangan dari orang-orang Melayu di seluruh negara.

“Dalam masa yang sama, Dr Mahathir mahu berdiri sebagai orang melayu tanpa membabitkan diri secara memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana parti politik bagi menyatu-padukan semula orang-orang Melayu di negara ini.

“Gerakan Proklamasi Tahah Melayu bergerak secara non partisan serta tidak bermotifkan politik,” jelas Khairuddin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Udah2 la tu.. berehat la selagi diberi kesempatan masa utk berehat. Signal utk berehat jelas pru 15 yg telah ditunjukkan.

Comments are closed.