Kaabah
Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengingatkan pengendali umrah dan jemaah supaya menyelesaikan ibadah umrah sebelum sesi musim haji yang dijangka bermula pada minggu ketiga bulan Jun iniu.

Kementerian tersebut turut mengingatkan bakal jemaah umrah di negara ini supaya tidak menyalahgunakan kemudahan Visa Pelancong dan Visa Umrah bagi tujuan menunaikan ibadah haji.

Menurutnya, peringatan ini diwar–warkan bagi memastikan tiada jemaah umrah yang mengambil kesempatan untuk tinggal lebih masa sehingga masuk ke musim haji.

“Perkara ini merupakan satu kesalahan di bawah peraturan
Kerajaan Arab Saudi iaitu menunaikan ibadah haji tanpa mempunyai permit yang sah,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

MOTAC berkata, kerajaan Arab Saudi hanya mengiktiraf permit haji yang dikeluarkan oleh institusi bertauliah bagi setiap negara seperti Lembaga Tabung Haji (TH).

Katanya, kementerian terbabit memandang serius perkara itu kerana ia melibatkan kepentingan dan keselamatan jemaah umrah serta berusaha menghalang berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini selain daripada menjaga hubungan baik yang telah terjalin antara kerajaan Malaysia dan Arab Saudi.

Menurut kenyataan itu, tindakan akan diambil jika terbukti ia melibatkan syarikat pengendali umrah yang dilesenkan oleh kementerian ini.

MOTAC meminta rakyat Malaysia yang melancong dan mengerjakan umrah agar sentiasa menjaga nama baik negara semasa berada di luar negara. – MalaysiaGazette