JHEV
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Persatuan Veteran Angakatan Tentera Malaysia (PVATM) Negeri Sembilan di Rantau, Seremban. Foto MUHD NA’IM, 13 MEI 2023.

SEREMBAN – Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV) diminta membuka dua cawangan secara berasingan di Kelantan dan Terengganu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ketika ini JHEV hanya mempunyai sebuah pejabat di Kota Bharu bagi memberi khidmat kepada veteran tentera di dua negeri berjiran itu.

Sehubungan itu, beliau mahu cawangan JHEV turut dibuka di Terengganu agar ‘jambatan’ yang menghubungkan jabatan berkenaan dan veteran tentera dapat diperkasakan.

“Saya nak veteran yang berdaftar ini sentiasa berhubung dengan JHEV melalui persatuan masing-masing kerana kadang-kadang pejabat JHEV ini tak dapat dihubungi secara terus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) di Dewan Orang Ramai Kampung Kanchung, Rantau, di sini, hari ini.

Turut hadir, Panglima Markas Briged Pertama Infantri, Brigadier Jeneral Mohamad Noorlizam Shamsuddin dan Yang Dipertua PVATM Negeri Sembilan, Adnan Ahmad.

Pada masa yang sama, Mohamad memberitahu, selain menjaga kebajikan, JHEV juga mempunyai peranan memastikan sentiasa wujud hubungan dua hala antara ventera tentera dengan Kementerian Pertahanan dan ATM.

Beliau menambah, pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan termasuk meningkatkan jumlah penerima bantuan sara hidup dan terus menyalurkan bantuan sedia ada termasuk pendidikan anak-anak veteran tentera.

Mohamad berkata, kementeriannya telah memohon penyelarasan pencen veteran tentera agar kadar yang diterima mereka setara dengan penjawat awam yang lain.

“Ada ketempangan semasa 2013 dahulu semasa penyelarasan gaji penjawat awam dibuat tetapi pencen tentera ketika itu tidak termasuk.

“Kita akan buat dan cuba berunding dengan cara terbaik mungkin dengan pihak kerajaan,” jelasnya. – MalaysiaGazette