KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prestasi ekonomi negara yang berkembang pada kadar 5.6 peratus suku pertama tahun ini disokong oleh peningkatan aktiviti ekonomi pertumbuhan berasaskan luas merentas semua sektor.
Beliau yang juga Menteri Kewangan memberitahu, peningkatan dapat disaksikan terutamanya dalam sektor perkhidmatan yang berkembang sebanyak 7.3 peratus dan pembuatan sebanyak 3.2 peratus.
“Pengembangan ekonomi juga disokong oleh permintaan domestik yang mampan terutamanya perbelanjaan swasta berikutan penambahbaikan berterusan dalam pasaran buruh,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Berdasarkan infografik yang dikongsi Anwar, prestasi pada suku pertama tahun ini menyumbang kepada sasaran pertumbuhan ekonomi keseluruhan antara 4 hingga 5 peratus.
Prestasi itu adalah lebih kukuh berbanding pertumbuhan sebanyak 4.8 peratus bagi tempoh sama tahun lalu.
Malaysia juga mencatatkan pertumbuhan suku pertama yang lebih baik berbanding negara-negara serantau lain iaitu Indonesia (5 peratus), China (4.5 peratus) dan Vietnam (3.5 peratus).
Selain itu, kadar inflasi menyusut kepada 3.6 peratus berbanding 3.9 peratus suku keempat tahun lalu manakala pengangguran menurun kepada 3.5 peratus berbanding 3.6 peratus suku keempat 2022. – MalaysiaGazette