Akmal Nasrullah Nasir meninjau kolam tadahan air di Pangsapuri Larkin Idaman di Johor Bahru, Johor.

JOHOR BAHRU – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM8.94 juta bagi menyelenggara kolam tadahan air di kawasan penempatan di Johor.

Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Nasir berkata, peruntukan itu membabitkan penyelenggaraan 28 buah kolam tadahan air di 16 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, peruntukan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Belanjawan 2023 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

“Peruntukan yang disalurkan menerusi PBT bagi menjalankan kerja penyelenggaraan itu perlu dilaksanakan secepat mungkin dan disiapkan pada tahun ini juga. Ia juga sebagai persediaan kemungkinan berlaku banjir kilat.

“Kami juga mengalu-alukan sekiranya ada lagi senarai kolam takungan yang mana bersesuaian untuk kita selenggara dan tambah baik, itu kita akan teliti pada Isnin  nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Penyerahan Surat Peruntukan Projek Kolam Tadahan di Pangsapuri Larkin Idaman Lot C, di sini, hari ini.

Hadir pada majlis Ketua Pengarah KPKT, Datuk Mohd. Fadzli Mohd. Kenali dan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman.

Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, KPKT telah meluluskan sebanyak RM500,000 kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) untuk menyelenggara kolam tadahan air di pangsapuri itu.

Katanya, kerja penyelenggaraan itu bukan sahaja sekadar membersihkan tetapi mendalamkan kolam terbabit dan juga membina semula kolam itu supaya dapat mengelakkan berlakunya hakisan.

“Saya turut berkongsi berpandangan dengan Datuk Bandar Johor Bahru supaya kemudahan kolam tadahan ini boleh dipertimbangkan untuk dinaik taraf dijadikan sebuah pusat rekreasi pada masa akan datang.

“InsyaAllah, isu-isu yang lain berkaitan dengan KPKT, kita tunggu pengumuman oleh Menteri, Nga Kor Ming yang dijangka akan mengadakan lawatan kerja pada Isnin ini,” katanya.

Kor Ming dijangka menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Isnin ini. – MalaysiaGazettte