Lahad Datu
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Persiapan  Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang berlangsung esok hampir lengkap apabila kini mencapai tahap 95 peratus.

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sesi raptai yang diadakan petang ini sekadar menambah baik sedikit sebanyak persiapan sebelum tibanya hari kemuncak.

Jelas beliau, semua wakil parti dalam jawatankuasa untuk melaksanakan persediaan konvensyen berkenaan memberikan komitmen yang memuaskan.

“Kalau tengok semua wakil parti daripada awal memberikan komitmen yang cukup tinggi selama dua minggu lebih kita bermesyuarat hampir setiap hari.

“Yang menariknya ini bukan sahaja kita bukan menantikan program konvensyen tetapi gerak kerja bersama di kalangan kepimpinan tertinggi dan jawatankuasa di peringkat parti-parti politik sejak awal lagi,” katanya ketika ditemui pada sesi raptai Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, beliau berharap kerjasama pelbagai parti politik dalam menjayakan konvensyen ini akan menjadi permulaan kepada kesepaduan di pelbagai peringkat.

Asyraf juga berhadap konvensyen yang akan menjadi julung kali ini akan dijadikan acara tahunan.

Terdahulu katanya, semua pemimpin daripada 19 parti politik telah mengesahkan bakal menghadiri konvensyen tersebut esok.

Dijangka seramai 10,000 delegasi daripada semua parti yang terlibat akan hadir.

Pada masa yang sama Asyraf berkata, orang awam juga dialu-alukan untuk hadir ke WTC KL bagi menyaksikan peristiwa bersejarah yang akan berlangsung esok.

“Kita mengalu-alukan seluruh pendokong, penyokong parti dan orang awam menyaksikan peristiwa bersejarah ini, kerana selepas inisiatif pertama Parti Perikatan pada sebelum mereka kemudian inisiatif kedua 1974 Barisan Nasional (BN), ini buat kesekian kalinya untuk memastikan gabungan ini menjadi suatu citra dan wajah kepada Malaysia kerana Kerajaan Perpaduan tidak mewakili satu kelompok,” tambah beliau. – MalaysiaGazette