KUALA TERENGGANU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta kepada Kerajaan Negeri Terengganu bagi membantu mangsa yang terkesan banjir Disember lepas.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, jumlah peruntukan berkenaan adalah tambahan kepada bantuan segera banjir RM50 juta di negeri ini yang diumumkannya pada Disember tahun lepas.

“Peruntukan awal itu telah diluluskan tetapi mengambil kira keadaan semasa, saya tiada masalah untuk luluskan peruntukan kepada Terengganu.

“Untuk malam ini, kita umumkan tambah RM50 juta lagi bagi bantu mangsa banjir,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia MADANI di Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), di sini malam ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Perdana Menterim Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi;  Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub serta Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Dalam lawatan meninjau bencana di Kelantan pada 21 Dis lepas, Anwar mengumumkan bantuan awal RM50 juta masing-masing bagi Kelantan dan Terengganu yang bertujuan bagi meringankan beban dua negeri berkenaan. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast