KUALA LUMPUR – Cubaan sindiket Geng Oum membawa masuk seramai 35 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi laut gagal apabila apabila tiga tekong ditahan pasukan keselamatan di 6.6 batu nautika dari pesisiran pantai Sungai Semilang, Klang, 10 Mei lalu.
Sumber berkata, kegiatan itu dikesan menerusi Op Pintas sepasukan pegawai dan anggota Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman dengan kerjasama Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Pelabuhan Klang, Selangor.
“Hasil siasatan dan semakan polis mendapati kesemua tangkapan termasuk lima wanita itu merupakan warga Indonesia berusia lingkungan 30 hingga 51 tahun.
“Hasil soal siasat polis ke terhadap kesemua PATI yang ditahan itu mendapati mereka mendakwa telah menjelaskan bayaran antara RM1,500 hingga RM1,800 untuk diseludup masuk secra haram ke Malaysia melalui jalan laut tidak diwartakan dengan menaiki bot pom-pom,” katanya, hari ini.
Op Pintas adalah operasi khusus untuk mengesan dan mencegah elemen kesalahan berkaitan penyeludupan migran yang memasuki Malaysia melalui jalan laut secara haram.
Menurut sumber, siasatan mendapati kegiatan penyeludupan PATI itu didalangi Geng Oum.
Katanya, tekong terbabit dibayar upah antara RM800 hingga RM1,200 oleh Geng Oum itu untuk melakukan aktiviti penyeludupan itu.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay yang mengesahkan tangkapan itu berkata, kesemua PATI dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara untuk membantu siasatan.
Tangkapan itu disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma),” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini. -MalaysiaGazette