IPOH – Penemuan beg sekolah di Jeti Kampung Terengganu, Teluk Intan, menjadi petunjuk seorang remaja yang hilang sejak semalam, akhirnya ditemukan lemas di Sungai Perak, hari ini.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Ahmad Adnan Basri berkata, mayat remaja lelaki berusia 14 tahun itu dijumpai terapung 60 meter dari jeti tempat mangsa dipercayai jatuh ke dalam Sungai Perak oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 4.45 petang tadi.
“Waris remaja terbabit telah mengesahkan identitinya setelah pengecaman dibuat oleh bapanya sendiri.
“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan pada jam 5 petang hari ini untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Ahmad Adnan berkata kira-kira 7.30 malam tadi, bapa mangsa telah menerima panggilan telefon daripada guru di sekolah mangsa dan menyatakan ada menerima beg sekolah mangsa daripada orang kampung yang dijumpai di Jeti Kampung Terengganu.
Menurut Ahmad Adnan, mangsa tidak dapat ditemui dan disyaki terjatuh ke dalam sungai.
Justeru, beliau berkata Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) telah diaktifkan berdekatan kawasan kejadian pada jam 9.30 malam semalam.
Bagaimanapun memandangkan cuaca gelap, katanya, gerakan SAR telah dijalankan pada 7.30 pagi tadi melibatkan agensi penyelamat membabitkan polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan orang tempatan. – Bernama