KUALA LUMPUR – UMNO akan kembali kuat dan berjaya dalam perjuangan apabila sifat-sifat keji dibuang dan dilenyapkan daripada parti.
Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun berkata, parti itu akan berjaya apabila asas perjuangan tersebut diteruskan dalam bentuk baharu yang lebih progresif dan tuntas serta mendepani semangat Malaysia Madani.
“Namun begitu, amat dikhuatiri sekiranya masih wujud fahaman ekstremis terlampau atau haluan kanan yang menggunakan sentimen perkauman dan menunggang agama dalam politik, negara akan dihujani dengan naratif sempit dan akan merebak menjadi barah dalam pemikiran rakyat.
“Tetapi yakinlah, majoriti ahli-ahli sudah bosan dengan segelintir karakter dan politikus yang bersifat menangguk di air yang keruh, lempar batu sembunyi tangan serta gunting dalam lipatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau menambah, UMNO sejak dari penubuhannya sehingga ke kemerdekaan dan pembentukan Malaysia adalah wadah politik yang sentiasa menerima dan memahami kemajmukan negara ini yang terdiri daripada pelbagai agama, bangsa dan latar belakang.
Khairul Azwan memberitahu, UMNO sejak selepas merdeka sehingga ke era Malaysia Madani hari ini masih yakin dan kekal dengan kepercayaan bahawa Malaysia dibina atas semangat kemajmukan bangsa dan wilayah.
Menurut beliau, UMNO juga percaya bahawa negara ini dibina atas semangat kebersamaan dan meraikan perbezaan tersebut untuk terus hidup dalam negara yang aman dan harmoni.
“Maka, telah teruji bahawa ahli-ahli UMNO amat memahami dan menerima hakikat ini.
“Bahkan, tidak menjadi batu penghalang kepada ahli-ahli UMNO bagi terus memperkasa asas perjuangan parti di samping mempertahankan keharmonian dan kesejahteraan hidup di bawah konsep Malaysia Madani,” jelasnya. – MalaysiaGazette