Goh Boon Chai mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mengemukakan penyata pendapatan borang C bagi taksiran tahun 2019 hingga 2021 membabitkan nilai cukai pendapatan berjumlah lebih RM500,000.

BATU PAHAT – Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan gagal mengemukakan penyata pendapatan borang C bagi taksiran tahun 2019 hingga 2021 membabitkan nilai cukai pendapatan berjumlah lebih RM500,000.

Goh Boon Chai, 58, bagaimanapun  mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Nur Asidah A.Rahman.

Mengikut  pertuduhan, Goh yang merupakan pengarah syarikat perkayuan itu dikehendaki  di bawah Seksyen 77A (1) Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk mengemukakan suatu penyata pendapatan dalam borang C bagi tahun taksiran 2019 hingga 2021 mengenai pendapatan berkenaan kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Dia didapati gagal  mengemukakan penyata tersebut yang mempunyai pendapatan bercukai sebanyak RM760, 625  bagi cukai taksiran 2019, RM821,460 bagi tahun 2020 dan RM1.18 juta bagi tahun 2021 di mana dia sepatutnya membayar cukai sebanyak RM147.550 bagi tahun 2019, RM155,150.40 (tahun 2020), RM242,688.24 (2021).

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 114 (1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya dan hendaklah membayar penalti khas tiga kali ganda daripada cukai terkurang bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan peguam kanan LHDN, Mazlan Alias.

Mahkamah menetapkan 11 Jun ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.- MalaysiaGazette