Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan, Anthony Loke berucap pada

KUALA LUMPUR – DAP menyangkal dakwaan pihak tertentu kononnya parti itu mendominasi pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang dibentuk atas titah nasihat Yang di-Pertuan Agong pada 23 November 2022.

Setiausaha Agung DAP Kebangsaan, Anthony Loke berkata, pihaknya tidak terkejut dengan dakwaan itu kerana ia tidak lebih sebagai usaha untuk memecahbelahkan gabungan parti dalam kerajaan.

“Tidak mengapalah dengan dakwaan itu. Yang penting, saya mahu berikan fakta untuk pihak terbabit dan rakyat conggak.

“Kerajaan Perpaduan hari ini didokong oleh 148 ahli Parlimen dengan 77 daripadanya adalah bumiputera beragama Islam manakala 16 bumiputera bukan Islam, 43 Cina, 12 India dan lain-lain.

“Dengan fakta ini, maknanya majoriti dalam Kerajaan Perpaduan masih didokong oleh ahli Parlimen Melayu beragama Islam dan bumiputera,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) hari ini.

Menurut Anthony yang juga Timbalan Pengerusi PH, pihaknya tidak akan mempedulikan fitnah yang disebarkan pihak tertentu sebaliknya terus bekerja dengan memberi kerjasama kepada kerajaan untuk melahirkan hubungan kaum yang baik.

“Yang penting ialah kita mesti menjalinkan kerjasama dan memastikan hubungan kaum yang baik. Persaingan bukan antara kita, tetapi persaingan antara Malaysia dengan dunia luar. Ini mesej yang saya nak sampaikan hari ini.

“Tambahan pula, Kerajaan Perpaduan dibentuk adalah dengan hasrat semua parti gabungan termasuk DAP untuk mengembalikan kestabilan politik, kita nak jalinkan kerjasama antara kaum dan agama,” katanya.

Beliau berkata, pembentukan Kerajaan Perpaduan sangat bersejarah kerana ia telah menghimpunkan empat gabungan dengan 19 parti politik.

Katanya, yang hadir pada konvensyen hari ini ialah yang mewakili setiap lapisan masyarakat dan kaum, baik majoriti mahu pun minoriti, suku kaum, setiap agama dan pentingnya setiap wilayah di Malaysia termasuk Sabah serta Sarawak.

“Kita bersama untuk mendokong kerajaan perpaduan kerana sejak merdeka, setiap kerajaan dibentuk selepas PRU adalah sebuah kerajaan yang mewakili semua kaum dan semua agama.

“Ini adalah asas dalam pembentukan politik dalam negara ini. Jadi, saya rasa himpunan ini ada makna yang cukup besar, bukan saja kita mengimbas kembali penubuhan dan juga pembentukan negara kita tetapi lebih lagi bagi saya dan rakan dalam DAP sebagai melambangkan masa depan negara.

“Matlamat kita ialah satu visi, satu wawasan yang akan membawa negara kita ke arah yang lebih sejahtera dan cemerlang,” ujar beliau. – MalaysiaGazette