GOMBAK – Kehadiran lebih 30,000 pengunjung Rumah Terbuka Madani Selangor di Taman Seri Gombak malam ini merupakan isyarat sokongan rakyat kepada Kerajaan Perpaduan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, lokasi untuk rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri itu sebenarnya memberikan nostalgia kepada kemenangan besar Pakatan Harapan (PH) di negeri itu pada Pilihan Raya 2008.
“Kehadiran ramai bersesak pada malam ini adalah tanda bukan hanya ingin menikmati makanan atau jamuan Aidilfitri tetapi tanda sokongan dan dokongan kepada Kerajaan Perpaduan yang diketuai oleh Anwar sebagai Perdana Menteri ketika ini.
“Malah sebentar tadi saya sempat beritahu Anwar di tapak inilah juga nostalgia kita warga Gombak membuat grand finale pada tahun 2008 yang mencetuskan perubahan besar di negeri Selangor ketika itu. Kita menang negeri ini.
“Insya-Allah, kita akan kekalkan kemenangan 2008 itu pada PRN akan datang,” katanya ketika berucap pada majlis yang sama dan diikuti tepukan gemuruh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Madani Selangor 2023 di Taman Sri Gombak, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 14 MEI 2023.
Sebelum ini, Amirudin pernah menyatakan Selangor bersedia untuk melaksanakan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak bersama lima negeri termasuk negeri yang dinaungi Pas selewat-lewatnya selepas Hari Raya Aidil Adha tahun ini.
Dalam pada itu, kata Amirudin lagi, kerajaan negeri berazam dan bertekad melaksanakan dasar-dasar serta pelaksanaan agar negeri ini menjadi negeri ‘tahan uji’.
“Kita pernah berdepan dengan ketidaktentuan politik pada 2020, pandemik 2020, masalah kegawatan ekonomi pada 2020 dan 2021, banjir besar melanda negeri dengan muafakat dan perpaduan kita dapat harungi bersama-sama sebagai sebuah negeri dan komuniti.
“Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran-cabaran ini, Selangor kekal penyumbang KDNK terbesar, (untuk Malaysia),” ujarnya. -MalaysiaGazette