GEORGE TOWN – Pulau Pinang dijangka berdepan gangguan bekalan air sehingga Rabu ini susulan penurunan mendadak paras air Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang hari ini.
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam satu kenyataan memaklumkan penurunan mendadak paras air Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang pukul 5 pagi tadi telah menyebabkan pengeluaran loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua terjejas.
Jelas kenyataan itu, PBAPP telah menyalurkan air dari Empangan Mengkuang sebagai tindakan kecemasan buat masa ini.
“Bagaimanapun, jumlah air yang disalurkan dari Empangan Mengkuang masih tidak mencukupi untuk menampung penurunan mendadak paras air Sungai Muda.
“Buat masa kini, LRA Sungai Dua tidak dapat beroperasi secara normal untuk merawat air 1000 juta liter sehari (JLH) untuk dibekalkan ke kawasan Seberang Perai dan juga kawasan sekitar Pulau Pinang.
“Malah tahap pengeluaran LRA Sungai Dua terhad kepada 600-650 juta liter sehari sehingga keadaan air mentah di muka sauk Lahar Tiang mencapai simpanan 100 peratus (berdasarkan pemulihan paras air di Sungai Muda),” katanya hari ini.
Sehubungan itu, PBAPP menasihatkan pengguna air di negeri ini untuk menyimpan air dengan secukupnya susulan setengah kawasan akan mengalami tekanan air rendah atau tiada bekalan air bermula hari ini sehingga Rabu.
“Jurutera-jurutera PBAPP sedang bekerja keras untuk memulihkan bekalan air mentah di muka sauk Lahar Tiang dan pengeluaran air terawat di Loji Rawatan Air Sungai Dua boleh pulih sepenuhnya.
“PBAPP akan sentiasa kemaskini maklumat kepada pengguna-pengguna air Pulau Pinang,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Paras Sungai Muda turun mendadak, 251,800 pengguna air terjejas