Gambar hiasan

SUNGAI PETANI – Kira-kira 251,800 akaun di daerah Kuala Muda, Kulim dan sebahagian kawasan Baling terjejas akibat penurunan paras Sungai Muda secara mendadak.

Syarikat Air Darul Aman (SADA) dalam satu kenyataan berkata, gangguan bekalan air tidak berjadual bermula pukul 7.25 pagi itu disebabkan penurunan mendadak paras sungai yang berpunca daripada kerosakan pintu barrage Sungai Muda.

Jelasnya, ia sekali gus mengakibatkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Pinang Tunggal dan LRA Kulim Hi-Tech dan ia dijangka selesai sehingga paras Sungai Muda kembali stabil.

“Sebanyak 171,800 akaun terjejas di daerah Kuala Muda manakala 80,000 akaun di Kulim dan sebahagian di kawasan Baling.

“Agihan semula bekalan akan dilaksanakan sebaik kerja kecemasan itu selesai,” katanya hari ini.

Antara kawasan yang terjejas adalah Sidam Kiri, Pinang Tunggal, Tikam Batu, Kota Kuala Muda, Sungai Petani, Sungai Lalang, Bandar Amanjaya, Semeling dan Taman Lembah Bujang.

Turut terjejas, Taman Pinang Tunggal, keseluruhan kawasan Tikam Batu, Taman Desa Meranti, Kawasan Industri Kemuning, Kawasan Perindustrian Bakar Arang, Taman Sejahtera dan Taman Berjaya.

Kawasan lain adalah Sungai Lalang, Bedong, Kampung Sungai Toh Pawang, seluruh kawasan pekan Sungai Petani, Amanjaya Zon Teratai, Cempaka, Melati, Mawar, Bandar Laguna Merbok, Taman Ria, Taman Nuri, Kampung Ceruk Kelubi Taman Sejati Indah dan beberapa kawasan lain.

Mengulas lanjut SADA berkata, pihaknya akan menggerakkan lori tangki air ke kawasan terjejas dengan memberi keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

“SADA akan sentiasa bergerak seiring untuk melakukan pemantauan rapi ke atas paras Sungai Muda bersama pihak Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) sebagai badan yang berfungsi dan bertanggungjawab dalam mengawal selia dan membekal sumber air mentah kepada SADA.

“Selain itu, bilik gerakan juga sudah diaktifkan serta-merta dan pengguna boleh menyalurkan aduan atau pertanyaan,” katanya.

Maklumat berkenaan gangguan bekalan air tidak berjadual ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi platform digital rasmi Facebook dan TikTok Syarikat Air Darul Aman dan laman sesawang rasmi SADA di www.sada.com.my. – MalaysiaGazette