GEORGE TOWN – Kira-kira 85,173 pertubuhan dan pengusaha perniagaan di negeri ini akan terlibat dalam Banci Ekonomi 2023.

Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Pulau Pinang, Khairolnizam Hassan berkata, ia merangkumi 65,795 pertubuhan bersaiz mikro, pertubuhan kecil (16,622), pertubuhan bersaiz sederhana (1,077) dan pertubuhan besar (1,679).

Jelas beliau, banci Ekonomi yang dilaksanakan itu bertujuan mengumpul maklumat bagi tahun rujukan 2022 meliputi seluruh sektor ekonomi iaitu pertanian, perlombongan dan pengkuarian, pembuatan, pembinaan serta perkhidmatan.

Kata beliau, menerusi banci ini juga, punca pertumbuhan baharu ekonomi dapat dikenalpasti dan DOSM berupaya menjana statistik ekonomi baharu yang siginifikan untuk dipantau.

“Pengumpulan data untuk menilai pencapaian Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) itu telah bermula pada April lalu dan akan berakhir pada September tahun ini.

“Antara maklumat yang dikumpul adalah aktiviti utama pertubuhan perniagaan, pendapatan dan perbelanjaan, guna tenaga, gaji, nilai stok dan harta.

“Antara statistik baharu yang boleh dikeluarkan ialah statistik industri kenderaan elektrik dan Unmanned Aircraft System yang lebih dikenali sebagai dron,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Khairolnizam, Banci Ekonomi 2023 juga berupaya membekalkan statistik utama ekonomi sehingga ke peringkat daerah yang mana secara tidak langsung dapat membantu kerajaan persekutuan dan negeri dalam membuat perancangan strategik yang lebih telus dan berkesan.

“Berdasarkan KDNK Negeri 2021, Pulau Pinang telah menyumbangkan sebanyak 7.1 peratus (RM 99.0 billion) kepada keseluruhan KDNK (KDNK Malaysia RM 1,386.7 billion) bagi tahun 2021. Ekonomi Pulau Pinang mengembang kepada 6.8 peratus pada tahun 2021 (2020: -2.1%) iaitu melebihi aras pertumbuhan nasional 3.1 peratus.

“Daripada segi sumbangan aktiviti ekonomi kepada KDNK Pulau Pinang, sektor perkhidmatan kekal menjadi penyumbang terbesar dengan peratus sumbangan 47.4 peratus pada tahun 2021, diikuti sektor Pembuatan 47.3 peratus, Pembinaan 2.5 peratus, Pertanian sebanyak 2.0 peratus manakala Perlombongan dan Pengkuarian 0.1 peratus.

“Banci ini dilaksanakan di bawah Akta Perangkaan 1965 (Disemak 1989) yang mengkehendaki pertubuhan perniagaan memberikan maklumat yang diperlukan kepada Jabatan Perangkaan Malaysia. Malah, pertubuhan perniagaan yang dikumpul adalah sulit dan tidak akan dihebahkan kepada sesiapa atau mana-mana institusi lain,” jelas beliau.

Maklumat lanjut mengenai Banci Ekonomi 2023 boleh diperoleh dengan melayari portal Jabatan Perangkaan Malaysia di www.dosm.gov.my. – MalaysiaGazette