KUALA LUMPUR – Penyanyi Baby Shima menjelaskan dakwaan terhadapnya yang dikatakan mempersendakan agama berkenaan Konsert Coldplay yang bakal diadakan di Malaysia adalah tuduhan berniat jahat dan fitnah.
Menurut pelantun lagu Pura-Pura Bujang ini, beliau hanya menyuarakan pendapat peribadi tentang konsert itu yang dipertikaikan oleh sesetengah pihak.
“Saya sebut konsert secara umum. Konsert itu sebahagian daripada hiburan.
“Konsert Coldplay telah pun diluluskan oleh kerajaan. Di Malaysia ini pelbagai agama dan bangsa yang ada. Kita masyarakat majmuk.
“Berapa banyak konsert telah dianjurkan sejak negara kita merdeka. Pilihan atas diri dan pendapat masing-masing,” luah Baby Shima dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Shima menambah, pendapat yang dilontarkan menerusi media sosialnya itu adalah bersifat peribadi.
Ujarnya, ia tiada kaitan dengan isu mengeluarkan fatwa sendiri apa yang disuarakan hanya pandangan peribadi.
“Saya bukan orang yang mempunyai latar belakang agama apatah lagi nak menghalalkan apa yang haram.
“Saya beritahu apa pendapat saya sahaja. Mungkin disebabkan saya tiada tittle PU (Pencetus Ummah), saya tak boleh suarakan pendapat? Adakah cuma yang ada title PU je yang boleh bercakap? Mana yang bab menghina agama nya?
“Namun tuduhan bahawa saya menghina agama, keluarkan fatwa, malah fatwa yang songsang adalah tuduhan yang berniat jahat dan fitnah.
“Saya cuma menggunakan hak saya dalam memberikan pendapat peribadi secara umum.
“Sekiranya tidak mahu ke konsert, tidak perlu ke konsert.
“Tiada keperluan menyerang saya membuta tuli. Janganlah kita rasa mulia dan semua artis itu pendosa. Kita semua pendosa,” jelasnya yang berusia 30 tahun.
Baby Shima juga berharap sekiranya ada pihak yang tidak faham apa yang disampaikannya, boleh hubunginya dengan pelbagai cara.
“Alangkah baiknya jika pihak-pihak ini boleh menghubungi saya sekiranya mereka tidak faham apa yang saya cuba sampaikan.
“Saya juga sudi dan bersedia menerima teguran bukan serangan tanpa usul periksa.
“Saya juga akan rujuk kepada pihak peguam, sekiranya perlu untuk ambil tindakan susulan,” tambahnya.
Terdahulu kecoh apabila artis antarabangsa Coldplay akan mengadakan konsert di Kuala Lumpur, pada November ini.
Ia menimbulkan kontrovesi apabila ada pihak yang mendakwa kumpulan itu menyokong budaya songsang LGBT.
Baby Shima yang menyuarakan pendapat peribadi dalam media sosialnya itu ditegur oleh beberapa agamawan.
Tidak kurang juga berlakunya salah faham apabila sesetengah netizen mendakwa Shima mempersendakan agama. – MalaysiaGazette