Hussein Omar Khan

SERDANG – Polis menahan empat individu bagi membantu siasatan seorang lelaki mati ditembak ketika menuju ke keretanya selepas makan di sebuah medan selera di Puchong, di sini, 11 Mei lalu.

Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua suspek lelaki berusia antara 30 hingga 40 tahun itu diberkas di sekitar Kinrara, Puchong sehari selepas kejadian.

“Hasil siasatan polis mendapati, motif pembunuhan itu dipercayai menjurus kepada aktiviti berkaitan gangsterisme dan dendam suspek ke atas mangsa.

“Siasatan lanjut juga mendapati mangsa juga mempunyai pelbagai rekod jenayah dan dipercayai terlibat aktiviti gengsterisme,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Dewan Serbaguna Balai Polis Seri Kembangan, di sini, hari ini.

Pada Jumaat lalu, Ketua Polis Daerah Serdang, AA Anbalagan berkata, semakan mendapati mangsa mempunyai 21 rekod jenayah dan pernah menjalani hukuman mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan (samun berkumpulan) dan Seksyen 397 kanun sama (samun berkumpulan) bersenjata).

Mangsa juga pernah ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), ujarnya. – MalaysiaGazette