Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King ketika hadir pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di Kementerian Pelancongan , Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 15 MEI 2023.

PUTRAJAYA – Untuk menarik lebih ramai pelancong ke dalam negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kelulusan segera penerbangan sewaan (charter) khas.

Jelas Anwar, keputusan itu selaras dengan dasar kerajaan untuk memudahcara menjalankan perniagaan khususnya dalam sektor pelancongan.

Malah pihaknya juga sudah mengadakan perbincangan bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai kelulusan visa.

“Soal visa saya sudah bincang dengan Menteri Dalam Negeri dan KDN kata peringkat awal kita boleh lulus segera pesawat sewaan khas dahulu.

“Yang lain, kita tengok perkembangan dan selaras kita dalam memudahkan cara peniagaan. Apakah tindakan yang boleh mengenangkan dan menarik minat pelancong ke Malaysia,” kata Anwar dalam ucapan sempena majlis Ramah Mesra Aidilfitri di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya hari ini.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan timbalannya, Khairul Firdaus Akhbar Khan.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut Anwar, tindakan itu bagi memastikan lonjakan pelancong asing ke negara ini dapat ditingkatkan.

“Dalam tempoh enam bulan, kita nampak satu lonjakan kehadiran pelancong ke dalam negara kita,” katanya lagi.

Terdahulu, King Sing dalam ucapannya memaklumkan, setakat tiga bulan pertama tahun ini, seramai 4.38 juta pelancong antarabangsa memasuki negara ini.

Daripada jumlah itu, seramai 178,150 orang adalah pelancong China iaitu 45,317 orang pada Januari manakala 49,782 dan 83,051 pelancong masing-masing pada Februari serta Mac.

“Kita akan cuba sedaya upaya untuk promosi Malaysia di dunia terutama China yang bantu dalam sektor pelancongan dan pertumbuhan ekonomi negara.

“Saya minta Menteri Dalam Negeri mudahkan urusan visa pelancong asing yang mahu masuk (ke negara ini) dari seluruh dunia. Kepada Perdana Menteri, saya nak minta jangan lupa MOTAC.

“Kita nak minta (jika) ada peluang untuk duduk berbincang bagi naik taraf (MOTAC) dan sedikit peruntukan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast