Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sistem Janji Temu secara atas talian melalui aplikasi MySejahtera di fasiliti kesihatan primer Kementerian Kesihatan  (KKM) akan diperluas bagi perkhidmatan kesihatan pergigian mulai hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, langkah tersebut  mampu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan pergigian dan kemudahan akses ke klinik selain daripada kaedah walk-in.

“Melalui inisiatif ini juga, orang awam boleh menempah perkhidmatan pemeriksaan kesihatan pergigian dan merancang lawatan ke fasiliti kesihatan pergigian mengikut kesesuaian masa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelas Dr Muhammad Radzi,  perluasan sistem berkenaan menawarkan janji temu pemeriksaan kesihatan pergigian melalui Perkhidmatan Pesakit Luar.

Selain itu, KKM  akan memperkenalkan fungsi automated reminder melalui aplikasi MySejahtera yang manaorang awam akan diberi notifikasi untuk hadir pada masa dan tarikh yang telah ditempah.

“Pelanggan akan diberikan pemeriksaan, perundingan atau rawatan pergigian pada janji temu pertama tersebut. Sekiranya rawatan susulan diperlukan, penetapan janji temu seterusnya akan diaturkan.

“Namun begitu, bagi kes kecemasan pergigian seperti sakit gigi atau kecederaan pada tisu muka atau gigi, orang awam boleh hadir terus ke mana-mana klinik pergigian berdekatan bagi mendapatkan rawatan kecemasan tanpa perlu melakukan tempahan janji temu,” katanya lagi.

Terdahulu Dr Muhammad Radzi berkata, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 mendapati sebanyak 15 peratus penduduk Malaysia tidak pernah mendapatkan pemeriksaan gigi dengan pengamal pergigian seumur hidup mereka.

Manakala sebanyak 50 peratus pula hanya mendapatkan pemeriksaan pergigian yang terakhir mereka lebih dari dua tahun lepas.

Ujarnya, situasi  tersebut amat membimbangkan kerana kejadian penyakit gusi dan karies gigi dalam kalangan dewasa masih tinggi dengan masing-masing 90 dan 89 peratus menurut Tinjauan Kesihatan Mulut Kebangsaan Untuk Golongan Dewasa 2010.

“Justeru, KKM menyeru orang ramai bersama-sama meningkatkan taraf kesihatan pergigian rakyat Malaysia melalui inisiatif ini agar taraf kesihatan pergigian rakyat sentiasa selari dengan kemajuan sosio-ekonomi negara.

“Sokong Kempen Pemeriksaan Kesihatan Pergigian Sekali Setahun dengan tema ‘Ingat Hari Jadi, Ingat Doktor Gigi’.-MalaysiaGazette