Azman Adam

KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri ditahan selepas gagal membekalkan baju kurung yang dijual secara dalam talian sempena Hari Raya Aidilfitri lalu melibatkan transaksi ratuan ribu ringgit.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata, mereka melakukan kesalahan menuntut atau menyetujui terima bayaran tanpa niat untuk membekalkan pakaian yang dijual secara dalam talian pada 11 Mei 2023.

Penahanan pasangan itu telah dilakukan di pejabat KPDN cawangan Manjung, Perak susulan siasatan ke atas aduan yang diterima daripada orang awam berhubung penjualan pakaian secara dalam talian sempena Hari Raya Aidilfitri yang tidak wujud.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, aduan dibuat ke atas syarikat yang beralamat di Sitiawan, Perak yang mana pengadu telah membuat pembelian bagi sepasang baju kurung setelah melihat tawaran iklan penjualan baju kurung berkenaan melalui laman sosial Facebook milik suspek.

Namun, setelah pembayaran dilakukan sehingga tempoh aduan ini dibuat, baju kurung yang dibeli tidak diterima oleh pengadu.

Menurutnya, siasatan awal ke atas aduan, pihak KPDN telah berjaya mengesan maklumat/butiran suspek seterusnya siasatan dilakukan ke atas individu terbabit yang juga pemilik syarikat itu.

Setelah rakaman percakapan dilakukan, KPDN menahan dua individu berkenaan bagi membantu siasatan.

Berdasarkan rekod, KPDN telah menerima sejumlah 100 aduan dari seluruh negara berkaitan penipuan jualan yang dilakukan oleh suspek secara dalam talian.

“Hasil siasatan lanjut yang dilakukan mendapati, suspek telah menerima wang daripada pelanggan melalui akaun bank syarikat mereka membabitkan jumlah ratusan ribu ringgit sepanjang pengiklanan di Facebook,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambahnya, peralatan elektronik yang ditemui telah disita bagi tujuan siasatan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM8,700.

Kedua-dua suspek merupakan warganegara tempatan berumur lingkungan 40-an telah dihadapkan di Mahkamah Majistret Manjung bagi permohonan reman.

Majistret telah membenarkan tempoh empat hari reman bermula 12 Mei 2023 sehingga 15 Mei 2023.

Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Pelindungan Pengguna 1999 [Akta 599] bagi siasatan menyeluruh ke atas pengiklanan dan transaksi kewangan.

Azman berkata, KPDN memandang serius ke atas kegiatan penipuan aktiviti penjualan  secara dalam talian yang diklasifikasikan juga sebagai jenayah siber dengan mengeksploitasi teknologi.

Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 16 (a) Akta Pelindungan Pengguna 1999 iaitu tiada seorang pun boleh menuntut atau menyetujui terima apa-apa bayaran atau balasan bagi barang atau perkhidmatan, jika pada masa tuntutan atau penyetujuterimaan itu, orang itu tidak berniat untuk membekalkan barang atau perkhidmatan itu.

Jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM250,000 jika suatu pertubuhan perbadanan manakala jika bukan suatu pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak lebih RM100,00.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Selain itu, siasatan juga akan dilakukan di bawah Seksyen 4, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613] iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat pelucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram
penipuan penjualan secara dalam talian.

Jika disabit kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima belas (15) tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Tegas beliau, KPDN memberikan amaran kepada semua yang berkaitan dan menegaskan bahawa kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat di dalam melakukan penipuan penjualan secara dalam talian seumpama ini.

Tindakan tegas akan diambil termasuklah mendakwa mereka di mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta 599 dan Akta 613 ini.

“Kementerian akan sentiasa memantau aktiviti penjualan secara dalam talian termasuklah melakukan siasatan ke atas aduan yang diterima daripada orang ramai bagi membendung aktiviti penipuan seumpama ini daripada terus berleluasa serta memastikan hak-hak pengguna dilindungi selain memastikan platform perniagaan secara dalam talian tidak disalahguna oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab,” tegasnya. – MalaysiaGazette