Shuhaily menerima tongkat kuasa sebagai simbol memulakan tugasnya sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur baharu dalam majlis yang diadakan di ibu pejabat Kontinjen Kuala Lumpur pagi ini.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) meletakkan harapan tinggi terhadap Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu, Datuk Mohd Suhaily Mohd Zain dalam memastikan ibu negara terus kekal sebagai kawasan selamat dan aman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, PDRM yakin dengan kewibawaan dan kepimpinan yang dimiliki oleh bekas Ketua Polis Pulau Pinang itu dalam merealisasikan visi dan misi bersama Kontinjen Kuala Lumpur.

Katanya, peralihan pucuk pimpinan adalah satu proses amat penting dalam menjaga kesinambungan urus tadbir sesebuah jabatan bagi memastikan PDRM khususnya polis Kuala Lumpur kekal relevan sebagai agensi yang utuh dalam menjaga keselamatan dan keamanan negara.

“Pucuk Prestasi Kontinjen Kuala Lumpur amat penting kerana ianya menjadi cerminan kepada prestasi lain-lain kontinjen kerana Kuala Lumpur menjadi tumpuan aktiviti ekonomi, pelancongan, dan pejabat kedutaan-kedutaan asing.

“Lokasi ibu pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman yang terletak dalam Kontinjen Kuala Lumpur juga merupakan salah satu faktor mengapa IPK Kuala Lumpur dilihat sebagai sebahagian dari Bukit Aman,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian hadir menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur antara Pemangkunya Senior Asisten Komisioner Datuk Abu Samah Mohd Noor dan Komisioner Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain pagi tadi.

Tambah Ayob Khan, beliau akan memastikan JSJ Bukit Aman memberi sokongan padu kepada Shuhaily dan pegawai serta anggota Kontinjen Kuala Lumpur dalam memastikan Kuala Lumpur sentiasa selamat untuk semua lapisan masyarakat.

“Sokongan itu bagi memastikan Kuala Lumpur diletakkan sebagai sebuah ibukota yang ingin didiami dan selamat dikunjungi oleh pelancong-pelancong samada dari dalam mahupun luar negara.

“Saya amat yakin dengan pengalaman, kredibiliti, kepimpinan, dan ketegasan dan yang paling penting aspek integriti tinggi yang dimiliki oleh Mohd Suhaily, Kontinjen Kuala Lumpur akan dapat mencapai kecemerlangan dalam penyampaian perkhidmatan seiring dengan hasrat pucuk pimpinan PDRM,” tegasnya.- MalaysiaGazette