Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Nga Kor Ming di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, Johor.

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini menzahirkan perasaan kecewa terhadap keadaan penyelenggaraan serta tahap kebersihan flat kos rendah di negeri ini.

Baginda bertitah, kebanyakan flat kos rendah di Johor berada dalam keadaan daif serta dipenuhi sampah sarap yang dibuang merata-rata hingga menjadi tempat pembiakan serangga berbisa.

“Saya melihat ada beberapa flat kos rendah di negeri ini dalam keadaan yang amat menyedihkan dan seolah-olah rakyat saya hidup dalam ‘reban ayam.

“Saya harap kerajaan pusat akan berikan bantuan untuk baik pulih flat kos rendah yang lama, dan penduduk juga mesti sama-sama bertanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran kawasan flat mereka,” titah baginda, hari ini.

Sultan Ibrahim yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan pembersihan oleh SWM Environment Sdn Bhd (SWM) bertitah,  kerajaan negeri terpaksa membayar hampir RM180 juta setiap tahun kepada syarikat itu namun pungutan sampah yang dijalankan tidak memuaskan.

“Malah perjanjian bersama SWM adalah ‘watertight’ seolah-olah tidak boleh dipertikaikan. Walaupun banyak aduan telah dibuat mengenai perkhidmatan SWM yang mengecewakan, namun keadaan masih tidak berubah,” titah baginda.

Terdahulu, baginda berkenan menerima mengadap Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, di Istana Bukit Serene, di sini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast