rabies Selangor
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 11 kes rabies dalam kalangan manusia; termasuk sembilan kes kematian, telah dilaporkan di Sarawak sejak 1 Januari 2023 sehingga 15 Mei 2023.

Ini menjadikan jumlah kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak, sejak wabak diisytiharkan pada Julai 2017 sebanyak 66 kes dengan 59 kematian.

Daripada 11 kes yang dilaporkan pada tahun 2023 ini, empat kes masing-masing dari Sibu dan Serian, dua kes dari Kuching, dan satu kes dari Bintulu.

Kes memmbabitkan pesakit dalam lingkungan enam hingga 63 tahun.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hasaan berkata, lapan kes yang dilaporkan pada tahun ini mempunyai sejarah digigit oleh anjing, dua kes mempunyai sejarah digigit atau dicakar oleh kucing, manakala satu kes tidak diketahui oleh ahli keluarga sama ada mempunyai sejarah digigit atau dicakar oleh haiwan.

Rabies merupakan penyakit sistem saraf yang disebabkan oleh jangkitan virus rabies dan virus ini terdapat dalam air liur haiwan yang dijangkiti serta boleh menjangkiti manusia melalui gigitan atau semasa kontak langsung dengan air liur haiwan yang dijangkiti, sama ada melalui luka atau lapisan mukosa tubuh, termasuklah kesan cakar oleh kucing peliharaan atau kucing liar.

Ia boleh menyebabkan kematian sekiranya jangkitan tersebut merebak ke otak.

“Masih terdapat risiko jangkitan rabies dalam kalangan manusia di Sarawak berikutan terdapat haiwan yang positif rabies. Justeru, orang awam dinasihati agar sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan diri dari dijangkiti virus rabies,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sekiranya digigit atau dicakar atau terkena air liur haiwan, luka mesti segera dicuci menggunakan air mengalir dan sabun sekurang-kurangnya selama 15 minit; segera dapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital terdekat; pastikan vaksin anti-rabies lengkap diterima mengikut janji temu yang diberikan oleh pengamal perubatan; dan tidak mengendalikan sebarang haiwan liar, termasuk anjing dan kucing liar sama ada yang hidup mahupun yang telah mati.

Muhammad Radzi berkata, sejumlah 31 buah fasiliti KKM di seluruh Negeri Sarawak telah dikenal pasti bagi menyediakan perkhidmatan rawatan gigitan haiwan termasuk pemberian vaksin anti-rabies.

Manakala sembilan buah hospital turut memberikan perkhidmatan suntikan Rabies Immunoglobulin (RIG) kepada kes-kes berisiko tinggi. – MalaysiaGazette