Kok Chin menunjukkan rampasan peralatan bagi kegiatan judi dalam talian pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang menumpaskan satu sindiket judi dalam talian yang mengaut keuntungan RM3 juta sebulan selepas menyerbu dua kondominium yang dijadikan ‘calling centre’ di Bayan Baru. di sini, minggu lalu.

Bertindak atas maklumat dan risikan Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) JSJ negeri dengan kerjasama D7 Ibu Pdjabat Polis daerah (IPD) Barat Daya membawa kepada tangkapan tujuh individu dalam beberapa siri tangkapan sekitar negeri ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, tangkapan pertama dilakukan pada 12 Mei lalu membabitkan empat lelaki dan seorang wanita bersama peralatan yang digunakan untuk kegiatan perjudian itu.

Kok Chin (dua dari kiri) ketika menyampaikan sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

Jelas beliau, bertindak atas maklumat tangkapan pertama pihaknya menyerbu premis kedua yang dijadikan tempat suspek menyimpan peralatan untuk perjuadian.

“Susulan itu, pada keesokan hari kita menahan seorang lelaki di Butterworth manakala seorang lagi suspek pada 14 Mei selepas disyaki terlibat dalam menguruskan kegiatan tersebut.

“Secara keseluruhan kita tahan tujuh individu termasuk seorang wanita yang berusia lingkungan 20 hingga 30-an.

Antara barang rampasan.

“Turut dirampas 34 buah telefon bimbit, komputer (10), tetikus (5), surat perjanjian, lima buah kereta pelbagai jenama, empat buah motosikal serta wang tunai berjumlah RM15,200,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai modus operandi sindiket, Kok Chin berkata, sindiket terbabit menggunakan aplikasi WeChat, Telegram serta WhatsApp untuk mempromosikan perjudian dalam talian tersebut kepada pelanggan dalam negara serta antarabangsa.

Katanya, transaksi antara pelanggan dan sindiket dipercayai menggunakan beberapa arahan bank dalam serta luar negara.

“Siasatan mendapati sindiket ini baru beroperasi selama sebulan dan mampu menjana pendapatan RM100,000 sehari sekali gus anggaran RM3 juta untuk sebulan.

Kok Chin (kanan) melihat barang rampasan yang ditunjukkan Ketua JSJ Pulau Pinang, SAC Rahimi Ra’ais.

“Kita masih menjalankan siasatan berhubung kes ini selain mengesan tiga lagi suspek yang masih bebas.

“Kesemua tangkapan direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” jelas Kok Chin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast