Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (kiri) menyampaikan anugerah kepada penerima sambil diiringi Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022 dan Sambutan Hari Raya Jabatan Imigresen Malaysia di Putrajaya. Foto FAREEZ FADZIL, 16 MEI 2023.

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan melaksanakan penambahbaikan perkhidmatan bagi tujuan mengatasi masalah kesesakan di Pintu Masuk Bangunan Sultan Iskandar (BIS) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) menerusi perubahan syif kakitangannya bermula Ahad ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, selepas mengkaji semula waktu bekerja syif di dua pejabat berkenaan, syif sedia ada akan ditukar.

Katanya, syif pagi bermula 9 pagi hingga 6 petang, syif petang bermula 4 hingga 12 malam manakala syif malam bermula 12 hingga 9 pagi esok.

Tambah beliau, ketika ini syif pagi bermula 7 hingga 4 petang, syif petang bermula 3 hingga 11 malam dan syif malam bermula 11 hingga 8 pagi esok.

“Pertukaran masa waktu bekerja syif baharu ini tidak melibatkan pertukaran syif pada masa puncak iaitu antara jam 4 pagi hingga 7 pagi dan 5 petang hingga 7.30 malam.

“Ini secara tidak langsung dapat memastikan semua kaunter dapat beroperasi pada masa tersebut.

“Pertukaran ini akan mula dilaksanakan pada 21 Mei ini dan apa yang paling utama, kebajikan pegawai-pegawai imigresen juga turut terpelihara kerana perubahan masa yang tidak begitu ketara ini mengurangkan kesan kepada pegawai untuk mengadaptasi kepada waktu bekerja mengikut masa baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022 dan Sambutan Hari Raya Jabatan Imigresen Malaysia, di sini, hari ini.

Ketika ini, Pintu Masuk BSI merupakan antara pintu masuk tersibuk di dunia dengan purata pelawat keluar dan masuk pada hari biasa mencecah 220,000 pergerakan pelawat merentas sempadan.

Mengulas lanjut, Saifuddin memberitahu, seramai 100 orang Pegawai Imigresen KP19 baharu akan ditempatkan di Pintu Masuk BSI dan KBAS manakala 100 orang lagi pegawai akan ditempatkan di KLIA bermula 22 Mei ini sebagai langkah tambahan untuk menangani kesesakan di pintu masuk negara.

Ujar beliau, pegawai itu merupakan graduan yang akan tamat latihan di Akademi Imigresen Malaysia pada minggu hadapan. – MalaysiaGazette