Salahuddin Kalimah
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berucap sebelum melancarkan Inisiatif Payung RAHMAH bersama Foodpanda Malaysia di Pejabat Foodpanda, Bangsar South, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 16 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub mengingatkan semua pihak agar jangan melampaui batas bermain politik dan mengkritik kerajaan dalam isu menarik balik rayuan terhadap kes berkaitan penggunaaan kalimah Allah oleh seorang wanita bukan Islam.

Beliau turut mempersoalkan mengapa pihak terbabit tidak mengeluarkan kenyataan atau membuat bantahan ketika mereka berada dalam kerajaan dahulu.

Salahuddin berkata, perkara itu telah diputuskan melalui sistem perundangan negara.

“Esok ada mesyuarat Kabinet, isu itu kita akan bincang dan semuanya akan kita selesaikan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

“Saya rasa Kerajaan Madani juga tidak boleh berkompromi dalam apa jua perkara yang kita rasakan Islam itu tetap akan kita pertahankan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Inisiatif Payung Rahmah bersama foodpanda Malaysia di Bangsar South hari ini.

Semalam, media melaporkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, 18 April lalu.

Tindakan menarik balik rayuan itu dipersoalkan pelbagai pihak termasuk pengamal undang-undang dan pemimpin politik yang bimbang tentang kesannya terhadap maslahah dan kepentingan umat Islam di negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast