KUALA SELANGOR – Tindakan Kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan Bible boleh mengancam akidah umat Islam.
Pengerusi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Marzuki Yahya berkata, keputusan itu boleh mengelirukan orang Islam khususnya golongan muda yang berdepan risiko bertukar agama.
“Kerajaan hari ini tidak peka tentang sentimen orang Melayu dan juga Islam kerana Kalimah Allah ini adalah sebahagian daripada umat Islam.
“Kita takut penggunaan kalimah Allah di dalam Bible mungkin akan membawa satu fenomena baharu terutama kepada anak-anak muda Melayu Islam.
“Kemungkinan akan berpindah atau lari daripada akidahnya kerana beranggapan bahawa Bible dan al-Quran itu adalah sama,” katanya kepada pemberita di Puncak Alam, di sini, malam tadi.
Semalam, media melaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.
Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.
Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu.
Notis berkenaan, menyatakan bahawa KDN dan kerajaan Malaysia tidak berniat untuk meneruskan rayuan yang difailkan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan tanpa sebarang perintah terhadap kos.
Perkara itu disahkan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan dan menyatakan notis pemberhentian berkenaan sudah direkodkan Mahkamah Rayuan. – MalaysiaGazette