Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) kekal dengan pendirian menghormati, memperakui dan menerima pakai ketetapan enakmen negeri-negeri dan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 7 Februari lalu yang menzahirkan agar dikekalkan dasar sedia ada yang sedang berkuatkuasa berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, KDN komited mempertahan dan melindungi kepentingan Islam, orang Melayu dan Institusi Beraja di Malaysia khususnya dalam isu penggunaan kalimah Allah selaras dengan Perkara 11(1) dan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

Jelas beliau, perkara itu diperuntukan sungguh pun setiap individu berhak menganuti dan mengamalkan agamanya namun masih tertakluk kepada undang-undang Persekutuan/Negeri yang boleh mengawal atau menyekat pengembangan doktrin atau kepercayaan agama lain dalam kalangan orang Islam.

“Di kesempatan ini, KDN ingin menyatakan komitmen terhadap pencegahan penyebaran unsur-unsur ketenteraman awam melalui tindakan penyeliaan dan kawalan yang memudaratkan terhadap bahan penerbitan yang memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam dari semasa ke semasa secara berterusan selaras dengan peruntukan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012 serta Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

“KDN sekali lagi menegaskan Perkara 11(1) dan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan sungguhpun setiap individu berhak menganuti dan mengamalkan agamanya, namun masih tertakluk kepada undang-undang Persekutuan/Negeri yang boleh mengawal atau menyekat pengembangan doktrin atau kepercayaan agama lain dalam kalangan orang Islam.

“Sekiranya masyarakat awam mendapati penerbitan di atas atau mana- mana penerbitan yang dikhuatiri melanggar undang-undang negara masih diedarkan di pasaran, aduan boleh dibuat kepada Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, KDN di talian 03-88868047 atau faks 03-88891682 atau melalui Sistem Pengaduan Awam Bersepadu KDN di laman sesawang http://moha.spab.gov.my,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022 dan Sambutan Hari Raya Jabatan Imigresen Malaysia, di sini, hari ini.

Saifuddin mengulas kenyataan beliau semalam bahawa KDN telah mengemuka nota kepada Jemaah Menteri mengenai keputusan kementerian itu menarik balik rayuan di mahkamah berhubung keputusan penggunaan kalimah Allah.

Beliau berkata, nota tersebut merupakan makluman kepada Jemaah Menteri mengenai keputusan yang dibuat oleh KDN berkaitan tindakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada 18 April lalu.

Semalam media melaporkan, KDN dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan. – MalaysiaGazette